Bukan sekadar mendaki gunung, Gunung Stong kali ini menjadi saksi kepada pencapaian luar biasa 55 pelajar Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi (MTSM) Nipah. Di mana, mereka membuktikan kecekalan dengan berjaya menawan tiga puncak utama dalam tempoh 11 jam setengah.
Selain itu, para pelajar ini sempat melengkapkan bacaan khatam al-Quran 30 juzuk sepanjang program Kem Mukhayyam Tarbawi 2026 berlangsung.
Baca juga: Dua Beradik Malaysia Diiktiraf Dalam Forbes 30 Under 30 Asia, Bina Jenama Kasut Tempatan ‘Machino’
3 PUNCAK GUNUNG STONG DITAWAN PELAJAR TAHFIZ MTSM DALAM 11 JAM
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 17 hingga 19 Jun lalu itu disertai pelajar tingkatan dua hingga lima bersama sembilan guru pengiring.
Menurut Penolong Kanan Kokurikulum MTSM, Mohd Aris Farizal Abdul Halim, program tahunan itu dianjurkan dengan tema #HANGAT (Hayati Alam Ingat Tuhan) yang menggabungkan elemen tarbiah, kepimpinan, ketahanan diri dan penghayatan alam semula jadi.
Katanya, Kem Baha yang terletak di kawasan air terjun Jelawang dipilih sebagai tapak perkhemahan utama kerana lokasinya sangat sesuai untuk aktiviti pembangunan sahsiah pelajar.
“Air terjun Jelawang terkenal sebagai antara air terjun tertinggi di Asia dan menawarkan persekitaran yang sangat sesuai untuk program pendidikan luar bilik darjah seperti ini,” katanya.
Khatam al-Quran guna telefon pintar selepas Maghrib
Apa yang menjadikan program ini lebih istimewa, para pelajar bukan sahaja diuji dari sudut fizikal menerusi pendakian, malah turut mengisi kem tersebut dengan aktiviti rohani apabila berjaya khatam al-Quran 30 juzuk secara berkumpulan.
Mohd Aris Farizal berkata, setiap juzuk dibaca oleh dua pelajar dan bacaan dibuat menggunakan aplikasi al-Quran digital di telefon pintar masing-masing selepas solat Maghrib.
“Pendekatan ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk mendekatkan generasi muda dengan al-Quran dalam suasana yang lebih santai dan dekat dengan alam,” katanya.
Pendekatan itu secara tidak langsung membuktikan penggunaan telefon pintar bukan hanya terhad kepada hiburan, tetapi juga boleh menjadi medium yang membantu pelajar mendekati al-Quran walaupun berada di kawasan perkhemahan.

Seramai 55 pelajar MTSM Nipah, Bachok berjaya menawan tiga puncak utama di Gunung Stong dalam tempoh 11 jam setengah, selain melengkapkan bacaan khatam al-Quran 30 juzuk menerusi telefon pintar sepanjang program Kem Mukhayyam Tarbawi 2026 yang berlangsung selama tiga hari dua malam.
Berjaya tawan tiga puncak dalam 11 jam setengah
Dalam masa sama, para pelajar turut berjaya menawan tiga puncak utama iaitu Puncak Baha, Puncak Ayam dan Puncak Stong dalam satu ekspedisi yang mengambil masa 11 jam setengah.
Pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Marzuq Azmi, 17, berkata pengalaman itu cukup bermakna kerana mereka bukan sahaja dapat mencabar ketahanan diri, malah berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi sambil menimba ilmu baharu sepanjang pendakian.
“Alhamdulillah, kami berjaya menawan tiga puncak dan pada masa sama dapat menikmati keindahan alam semula jadi serta menambah pengetahuan menerusi perkongsian para guider sepanjang pendakian,” katanya.
Bukan sekadar aktiviti lasak, tapi latih huffaz lebih seimbang
Sementara itu, Pengetua MTSM, Muhamad Sharifuddin Noh menjelaskan bahawa pendekatan pembelajaran di luar bilik darjah seperti pendakian gunung sangat penting dalam usaha melahirkan huffaz yang bukan sahaja cemerlang dari sudut hafazan, tetapi juga seimbang dari aspek spiritual, fizikal dan intelektual.
Menurutnya, program seumpama itu memberi pengalaman yang sukar diperoleh di dalam kelas kerana pelajar dapat belajar tentang disiplin, kerjasama berpasukan, daya tahan serta hubungan dengan alam ciptaan Allah.
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai menerusi Tabung Kecemerlangan Ibnu Sina bagi menyokong usaha sekolah melahirkan generasi huffaz cemerlang.
“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, 03018010189064 atas nama Tabung Kecemerlangan Ibnu Sina,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian

