Ramai mungkin beranggapan pelajar tahfiz hanya memberi fokus kepada hafazan al-Quran dan pembelajaran agama semata-mata.
Namun, tanggapan itu seolah-olah dipatahkan oleh dua remaja dari sekolah agama yang berjaya menjuarai acara beregu lelaki bawah 15 tahun dalam Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026.
Baca juga: Hebat! Mahasiswa Ini Cipta Aplikasi AI Bantu Kanak-Kanak Hafal Al-Quran, Menang Pertandingan Apple
PELAJAR TAHFIZ JUARA BEREGU BADMINTON MSSM 2026 RAIH PERHATIAN
Gandingan Putra Assolihin Mohamad Hamim dan Dani Syafi dari Maahad Integrasi Madad yang mewakili Majlis Sukan Sekolah (MSS) Kedah berjaya mencuri perhatian ramai selepas muncul juara di Arena Sukan Kasturi, Jitra.
Lebih menarik, kejayaan mereka turut mendapat perhatian bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong yang meluahkan rasa bangga menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam hantaran tersebut, Tan Boon Heong mengakui ramai mempunyai persepsi bahawa pelajar sekolah agama sukar bersaing dalam dunia sukan.
“Ada orang fikir pelajar sekolah agama hanya fokus belajar dan agama, jadi mereka tak mampu bersaing dalam sukan.
“Tetapi hari ini, dua anak muda ini membuktikan sesuatu. Usaha tidak mengenal latar belakang, impian tidak mengenal jenis sekolah dan kejuaraan bukan milik golongan tertentu sahaja,” tulisnya.
Beliau turut berkata apa yang dilihat bukan sekadar kemenangan biasa, sebaliknya harapan baharu buat masa depan badminton negara.
“Sebab itu saya ingin mencari dua adik ini. Saya ingin memberikan penghargaan dan hadiah kepada mereka sebagai tanda sokongan dan motivasi,” tulisnya lagi.
Rutin padat, hafaz al-Quran & tetap cemerlang di gelanggang
Di sebalik kejayaan itu, kisah Putra sebenarnya cukup menginspirasikan.
Menurut bapanya, Mohamad Hamim Mohamad Hanapi, anaknya memulakan rutin harian seawal selepas Subuh dengan kelas hafazan al-Quran selama dua jam sebelum ke sekolah.
Walaupun jadual hariannya padat, Putra tetap menjalani latihan badminton intensif pada sebelah petang dari jam 5 petang hingga 7 malam.
“Syukur Alhamdulillah, Allahuakbar. Itu saja yang mampu saya jerit berulang kali bersama linangan air mata kerana terlalu sebak. Putra tak cakap banyak, dia cuma peluk dan bisik ‘terima kasih abah’,” kata Mohamad Hamim selepas remaja berusia 15 tahun itu berlari memeluk erat dirinya sejurus meraih mata kemenangan.

Tangkap layar video Astro Arena.
Menariknya, perjalanan Putra bergelar juara kebangsaan diuruskan 100 peratus secara persendirian oleh bapanya yang juga seorang pengurus perniagaan, sejak pemain muda itu mula memegang raket pada usia enam tahun.
“Jadual kejohanan dan program latihan semuanya saya uruskan. Memang dia pernah mengeluh penat, namun bila dia faham kerjaya sukan ini membuahkan hasil seperti tajaan dan dapat beri duit belanja kepada ibunya, dia terus bersemangat,” katanya.
Menyentuh persiapan ke MSSM, Hamim Hanapi mendedahkan anaknya menyertai kem latihan pusat negeri dua minggu lebih awal, selain beraksi di kejohanan terbuka Kuala Lumpur seminggu sebelum itu sebagai medan pemanas badan.
Momentum itu tidak terhenti di situ memandangkan bulan ini jadual Putra cukup padat dengan Kejohanan Skyworth pada hujung minggu ini, disusuli Kejohanan Sukan Sekolah Agama Peringkat Negeri Kedah dan Kumpoo Cup di Johor Bahru.
“Saya beritahu kalau terlalu penat, tarik diri saja daripada kejohanan terbuka, namun dia tetap mahu beraksi merempuh jadual padat ini kerana mahu kumpul wang kemenangan untuk kegunaan masa hadapan,” katanya.
Berbeza dengan remaja lain, Putra yang menjadikan bapanya sebagai idola utama mempunyai visi jauh menyasarkan untuk membina empayar perniagaan dan jenamanya sendiri dalam arena badminton berbanding sekadar memburu kedudukan.
“Fokus utama saya bukan sukan semata-mata, biarlah dia tamat SPM dengan keputusan cemerlang serta ada bekalan 30 juzuk di dada, selepas itu barulah kita bina kerjaya sukan dan perniagaannya secara lebih serius,” katanya.
Lebih membanggakan, Putra kini sudah menghafaz hampir empat juzuk al-Quran dan menyasarkan untuk bergelar hafiz 30 juzuk sebelum usia 18 tahun.
Sumber: Harian Metro / Facebook Tan Boon Heong
FT Image: Astro Arena

