Jumlah penduduk Malaysia terus meningkat, tetapi pada kadar yang lebih perlahan. Namun, tahukah anda bahawa data menunjukkan bahawa kelahiran bayi lelaki adalah lebih tinggi dari kelahiran bayi perempuan?
Menurut kenyataan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, jumlah penduduk negara dianggarkan mencecah 34.3 juta orang pada suku tahun keempat 2025 (ST4 2025) berbanding 34.1 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. Namun begitu, kadar pertumbuhan hanya 0.6 peratus, jauh lebih rendah berbanding 1.2 peratus yang direkodkan sebelum ini, satu petunjuk bahawa pertambahan populasi semakin perlahan!
KELAHIRAN BAYI LELAKI LEBIH DARI BAYI PEREMPUAN, PENDUDUK LELAKI PUN MENINGKAT

Foto: Kosmo
Peratusan warganegara dan bukan warganegara kekal sama seperti tahun sebelumnya, iaitu:
- 90.1% warganegara
- 9.9% bukan warganegara
Dari segi jantina, penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta, manakala perempuan 16.3 juta. Nisbah keseluruhan menunjukkan terdapat 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala bagi warganegara, nisbahnya lebih seimbang iaitu 102 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Antara perkara yang mencuri perhatian ialah peningkatan golongan warga emas.
- Penduduk berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 7.8% kepada 8%
- Populasi muda (0–14 tahun) menurun daripada 21.9% kepada 21.6%
- Golongan umur bekerja (15–64 tahun) meningkat sedikit kepada 70.4%
Trend ini menunjukkan Malaysia sedang bergerak ke arah negara menua dan ini merupakan satu fenomena yang turut berlaku di banyak negara lain. Komposisi etnik kekal sama seperti tahun sebelumnya:
- Melayu: 58.2%
- Cina: 22.2%
- Bumiputera lain: 12.3%
- India: 6.5%
Kelahiran Terus Menurun, Hampir 5% Susut

Foto hiasan.
Bilangan kelahiran hidup mencatatkan penurunan 5.4 peratus, iaitu 99,353 kelahiran berbanding 105,027 pada tempoh sama tahun lalu. Bayi lelaki masih lebih ramai berbanding bayi perempuan:
- Lelaki: 51,340
- Perempuan: 48,013 (Nisbah 107 bayi lelaki bagi setiap 100 bayi perempuan)
Secara purata, 1 bayi lahir setiap minit, 45 bayi setiap jam dan 1,080 bayi sehari.
Negeri catat kelahiran tertinggi dan terendah adalah:
- Selangor mencatatkan kelahiran tertinggi dengan 18,517 kelahiran (18.6%)
- Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan jumlah terendah iaitu 331 kelahiran (0.3%)
Golongan ibu berusia 30 hingga 39 tahun merekodkan jumlah kelahiran tertinggi (49.8%), diikuti ibu berumur 20–29 tahun (43.4%). Penurunan kelahiran bukan hanya berlaku di Malaysia. Banyak negara kini berdepan kadar kesuburan jumlah (TFR) di bawah paras penggantian 2.1 anak bagi setiap wanita. Antara negara yang mencatatkan kadar rendah termasuk:
- Korea Selatan
- Jepun
- Singapura
- Thailand
- China
- Rusia
- Perancis
Situasi ini menimbulkan kebimbangan terhadap isu penuaan penduduk, pengurangan tenaga kerja dan cabaran ekonomi jangka panjang.
Secara keseluruhannya, Malaysia masih mencatat pertambahan penduduk, namun kadar kelahiran yang semakin menurun dan peningkatan warga emas memberi isyarat jelas bahawa struktur demografi negara sedang berubah.
Persoalannya, adakah Malaysia sudah bersedia menghadapi era negara menua?
Baca juga: Ini Senarai Lengkap Pelepasan Cukai 2025 Yang Boleh Jimat Ribuan Ringgit, Rugi Kalau Tak ‘Claim’!
Sumber: BERNAMA, Malaysia Gazette
