Euforia Bola 2026
Inspirasi

Bukan Satu Tapi 7 Kali Khatam Al-Quran Dalam 13 Bulan & CGPA 4.00, Muhammad Ariffin Raih Anugerah Pelajar Cemerlang!

khatam al-quran

Kejayaan menamatkan khatam al-Quran sebanyak tujuh kali dalam tempoh hanya 13 bulan bukan sesuatu yang biasa, apatah lagi apabila digabungkan dengan pencapaian CGPA 4.00 secara konsisten.

Itulah yang dibuktikan oleh Muhammad Ariffin bin Ibrahim Ali apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Kategori Pelajar Lelaki) Darul Quran JAKIM bagi tahun 2026.

Baca juga: Atlet Pingpong Cilik Malaysia Cipta Sejarah Luar Biasa, Azhar Habib Kini Di ‘Ranking’ No. 2 Dunia!

MUHAMMAD ARIFFIN KHATAM AL-QURAN 7 KALI, CGPA 4.00 & 11A SPM, RAIH ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG DARUL QURAN JAKIM

khatam al-quran

Gambar: Darul Quran JAKIM.

Kecemerlangan dalam hafazan dan akademik

Pengiktirafan itu diberikan dalam Majlis Khatam Hafazan al-Quran Program Diploma Tahfiz al-Quran & al-Qiraat yang berlangsung pada 7 Februari 2026.

Muhammad Ariffin merupakan pelajar Syukbah Qiraat yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran dalam tempoh 13 bulan dengan jumlah tujuh kali khatam. Kejayaan tersebut mencerminkan disiplin dan komitmen tinggi dalam memelihara hafazan.

Lebih membanggakan, beliau mengekalkan CGPA keseluruhan 4.00, selain mencatat GPA Hafazan Syafawi dan Tahriri 4.00 secara konsisten dari semester satu hingga semester lima.

Beliau juga menamatkan perujian Syahadah peringkat Darul Quran dengan baik dan menerima sijil Syahadah pada majlis yang sama.

Sebelum melanjutkan pengajian di Darul Quran, beliau merupakan lepasan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMISTA MAIWP) dengan keputusan SPM 11A (7A+ 4A) dalam aliran agama, satu asas kukuh kepada kecemerlangannya di peringkat diploma.

Aktif kokurikulum dan kepimpinan

Kecemerlangan beliau tidak terhad kepada akademik dan hafazan semata-mata.

Muhammad Ariffin aktif menyertai pelbagai musabaqah hafazan dan tilawah al-Quran di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa, termasuk kategori 10, 20 dan 30 juzuk. Penglibatan ini bukan sahaja mengasah bakat dan keyakinan diri, malah mengharumkan nama institusi.

Dari sudut kepimpinan, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Unit Multimedia Kelab Bahasa Darul Quran serta terlibat sebagai ahli jawatankuasa dalam pelbagai program akademik dan sukan Huffaz. Keupayaan mengimbangi tanggungjawab ini menjadikan beliau contoh pelajar holistik yang seimbang dari aspek intelek dan sahsiah.

Baca juga: Status Ibu Bukan Halangan, Wanita Muslim Ini Satu-Satunya Rakyat Malaysia Sebagai Jurutera Keselamatan Nuklear Di Perancis

khatam al-quran

Gambar: Darul Quran JAKIM.

Rahsia kekalkan hafazan 30 juzuk

Ketika ditemui selepas majlis, beliau meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka terpilih sebagai penerima anugerah tersebut. Pengiktirafan itu disifatkan sebagai dorongan untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang pengajian al-Quran.

Antara amalan konsisten yang diamalkan beliau:

  • Murajaah 10 juzuk sehari
  • Khatam al-Quran setiap tiga hari sekali
  • Memahami maksud ayat bagi mengukuhkan hafazan

Beliau menjadikan waktu awal pagi sebelum Subuh sebagai masa utama untuk menambah hafazan baharu, manakala waktu malam digunakan bagi mengukuhkan hafazan lama. Pengurusan masa yang sistematik membolehkan beliau mengimbangi akademik, hafazan dan aktiviti kokurikulum.

Cabaran dalam subjek seperti Jamak Qiraat 10 pula diatasi melalui ulang kaji berterusan serta perbincangan bersama pensyarah.

Dalam mencapai kejayaan tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Guru Tasmik, Dr. Sukhairu bin Sulaiman dan Ustaz Mohd Faisal bin Mohd Fauzi atas bimbingan dan pemantauan berterusan. Tidak dilupakan juga sokongan ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang pengajian.

Beliau berhasrat menyambung pengajian di Shoubra, Mesir dalam bidang Qiraat dan al-Quran pada masa hadapan.

Kisah Muhammad Ariffin ini membuktikan bahawa kesungguhan, disiplin dan keikhlasan dalam menuntut ilmu mampu melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan, malah unggul dalam akademik dan kepimpinan.

Baca juga: Throwback Zaman Dulu! Ini 8 Wajah Terkini Pelakon Kanak-Kanak Popular & Karya Ikonik Mereka

Sumber: Darul Quran JAKIM

FT Image: Darul Quran JAKIM

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×