Rumah terbakar di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai, awal pagi semalam mengakibatkan seorang wanita yang disahkan sedang mengandung tiga bulan maut.
Mangsa dikenali sebagai Wan Nurkhairani Wan Norzaini, 21, yang baru melangsungkan perkahwinan bersama suaminya, Irfan Ibrahim, 24, pada tahun 2024. Difahamkan, itu merupakan kehamilan pertama bagi pasangan muda berkenaan.
Baca juga: Pernah Tumpang Belajar Di PASTI Segamat, Perpisahan Adik Kang Kang Ini Buat Rakan Mengalir Air Mata…
RUMAH TERBAKAR, ISTERI & BAYI DALAM KANDUNGAN MAUT

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, seorang lagi mangsa turut disahkan meninggal dunia iaitu rakan mereka, Mohd Shahrizal Yap, 22, yang telah menumpang di rumah tersebut sejak kira-kira dua bulan lalu.
Menurut Irfan, ketika insiden berlaku, dia sedang bertugas di sebuah kilang di kawasan Gelang Patah dan tidak berada di rumah. Dia hanya dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh ahli keluarganya sebelum bergegas pulang ke rumah.
“Saya sampai lebih kurang jam 7 pagi, waktu itu api sudah dipadamkan. Isteri saya ada di rumah bersama rakan kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambahnya, Mohd Shahrizal merupakan bekas rakan sekerja mereka dan menumpang sementara kerana berasal dari Sarawak serta tidak mempunyai tempat tinggal di Johor.
“Isteri saya dari Kuantan, Pahang dan rumah ini milik ibu mentua saya. Kami sudah tinggal di sini hampir setahun. Perasaan saya sangat bercampur-baur. Baru nak rasa gembira menanti kelahiran anak, tetapi ujian ini datang. Saya reda, walaupun terlalu sedih,” katanya sebak.

Sementara itu, seorang jiran, Tuminah Bakir, 61, memaklumkan dia terdengar bunyi seperti barang dicampakkan dari dalam rumah berkenaan, dipercayai dari tingkat atas, seolah-olah meminta pertolongan.
“Kami nampak asap tebal dan api marak di bahagian tangga, tapi tak dengar jeritan. Cuma bunyi barang jatuh,” katanya.
Menurutnya lagi, rumah itu sebelum ini tidak berpenghuni selepas pemilik asalnya yang merupakan pasangan warga emas meninggal dunia, sebelum pasangan suami isteri berkenaan berpindah masuk.
“Kami jarang berjumpa sebab mereka bekerja syif malam. Tapi kami tahu mereka baru berkahwin dan isterinya sedang mengandung,” ujarnya.
Baca juga: Jenis Baju Kurung Yang Paling ‘Approved’ Bila Pergi Interview Kerajaan, Jangan Pakai ‘Merlip-Merlap’
Sumber: Harian Metro
