Euforia Bola 2026
Inspirasi

Cemerlang Luar Biasa! Pelajar Hafizah Raih CGPA 3.99, Khatam Al-Quran 10 Kali Dalam Tempoh 7 Bulan

khatam al quran

Dalam dunia yang penuh cabaran dan gangguan, kejayaan luar biasa lahir daripada disiplin yang tinggi, pengorbanan yang konsisten serta tekad yang tidak pernah goyah. Itulah gambaran tepat buat Ainin Saheela Anuar, seorang pelajar hafizah yang berjaya mencipta pencapaian menakjubkan apabila menamatkan hafazan 10 kali khatam Al Quran dalam hanya 7 bulan, selain mencatat CGPA 3.99 dalam akademik!

Pencapaian tersebut bukan sahaja mengagumkan, malah menjadi sumber inspirasi kepada ramai pelajar lain.

Baca juga: Doa Seorang Ibu Tunggal Termakbul, Anak Autistik Berjaya Khatam Al-Quran Buat Ramai Tersentuh

KHATAM AL QURAN 10 KALI DALAM 7 BULAN, PELAJAR HAFIZAH CAPAI CGPA 3.99!

khatam al quran

Kejayaan Ainin Saheela dalam mengimbangi hafazan Al-Quran, kecemerlangan akademik serta penglibatan aktif dalam kokurikulum melayakkan beliau menerima Anugerah Pelajar Cemerlang (kategori pelajar perempuan) pada Majlis Khatam Hafazan al-Quran, Sabtu lalu.

Menerusi perkongsian Darul Quran JAKIM di Facebook, pengiktirafan itu secara tidak langsung mengangkat Ainin Saheela sebagai antara pelajar contoh yang paling menyerlah sepanjang tempoh pengajian.

Sebagai pelajar Syukbah Qiraat, beliau mencipta rekod peribadi yang mengagumkan apabila menamatkan hafazan al-Quran dengan 10 kali khatam hanya dalam masa tujuh bulan.

Kejayaan ini bukan sekadar membuktikan kekuatan daya ingatan, malah mencerminkan tahap disiplin dan istiqamah yang luar biasa apabila beliau konsisten melakukan murajaah sekurang-kurangnya lapan juzuk sehari.

Dalam bidang akademik pula, Ainin Saheela merekodkan CGPA semasa 3.99, manakala GPA Hafazan Syafawi dan Tahriri kekal pada tahap 4.00 secara konsisten dari semester satu hingga semester lima. Pencapaian ini membuktikan keupayaannya mengurus masa dan fokus dengan sangat berkesan, meskipun berdepan tuntutan hafazan yang padat.

Beliau merupakan lepasan Sekolah Agama Menengah Hulu Langat dalam aliran Dini Tulen, dengan keputusan SPM 8A 2B — latar belakang pendidikan agama yang menjadi asas kukuh kepada ketekunan dan kesungguhannya di Darul Quran.

Aktif Kokurikulum, Serlah Bakat di Peringkat Negeri & Kebangsaan

khatam al quran

Dalam bidang kokurikulum, Ainin Saheela mula aktif sejak semester tiga dengan menyertai pelbagai pertandingan dan program hafazan, antaranya Musabaqah Hafazan Mega DIDIK dan Saringan Hafazan Wilayah Persekutuan 2024. Usahanya membuahkan hasil apabila beliau berjaya meraih Johan peringkat negeri, sebelum mara ke peringkat kebangsaan.

Momentum kecemerlangan itu diteruskan pada tahun 2025 apabila beliau sekali lagi dinobatkan Johan Wilayah Persekutuan secara berturut-turut, selain mewakili Darul Quran ke pertandingan kebangsaan, menyertai MTHQIPT di UniSZA serta Ithbat Selangor.

Dari sudut kepimpinan, Ainin Saheela memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Bendahari Kelab Maktabah dan Bendahari Sahabat OKUMP, selain aktif dalam unit akademik, media dan takhassus al-Quran. Penglibatan ini membantunya membina kemahiran komunikasi, pengurusan serta penyelesaian masalah, di samping menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti pelajar.

Bertanya mengenai rahsia hafazan, dalam mengekalkan kekuatan hafazan, beliau mengamalkan:

  1. Murajaah secara berperingkat — bermula dengan kuantiti kecil sebelum ditingkatkan, memastikan setiap juzuk benar-benar kukuh.
  2. Bacaan disemak melalui tasmik bersama orang terdekat.
  3. Manakala, waktu selepas Maghrib hingga Isyak serta pagi selepas Subuh dimanfaatkan sepenuhnya untuk hafazan.
  4. Bagi akademik pula, beliau memberi fokus penuh ketika kuliah, tidak malu bertanya pensyarah jika kurang faham dan mengelakkan tabiat belajar saat akhir.
  5. Nota disediakan lebih awal, manakala minggu peperiksaan hanya tertumpu kepada ulang kaji. Cabaran terbesar beliau ialah Bahasa Inggeris, yang diatasi melalui latihan penulisan esei dan tatabahasa secara berterusan.

Dalam kejayaan tersebut, Ainin Saheela merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Guru Tasmik, Ustazah Shahidah Binti Shuib, serta Guru Tasmik Halaqah Syahadah, Ustazah Nuur Syafiqah Binti Abirerah, yang tidak jemu membimbing sehingga beliau berjaya mencapai 10 kali khatam.

Sokongan ibu bapa dan dorongan rakan-rakan turut menjadi tulang belakang kejayaannya. Menurut beliau, kata-kata galakan rakan walaupun ringkas, sangat bermakna dalam membina keyakinan diri.

Selain itu, beliau turut berjaya menamatkan Perujian Syahadah peringkat Darul Quran dengan cemerlang dan dianugerahkan Sijil Syahadah, melengkapkan pencapaian hafazan dan akademik sepanjang pengajian.

Ainin Saheela berharap untuk terus dahagakan ilmu dan menjadi insan yang bermanfaat, dengan cita-cita untuk menjadi pendidik al-Quran, agar kalam Allah terus terpelihara dalam dada generasi akan datang.

Pencapaian beliau diharapkan menjadi contoh dan inspirasi kepada seluruh pelajar Darul Quran — bukti bahawa istiqamah, kesungguhan dan keikhlasan mampu melahirkan huffazah yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Baca juga: Cara Khatam Al Quran Dalam Sebulan, Istiqamah Buat Pasti Dapat Hasilnya!

Sumber: Darul Quran JAKIM

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×