Ujian hidup seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang mengalami usus terkeluar sejak dilahirkan meruntun hati ramai apabila dia terpaksa melupakan alam persekolahan akibat masalah kesihatan yang dihadapinya.
Mohd Adam Mat Noh bukan sahaja berdepan kesukaran bergerak, malah terpaksa menanggung kesakitan apabila ususnya dibiarkan tergantung dan hanya dibalut menggunakan plastik ekoran keluarganya tidak mampu membeli beg stoma yang harganya mahal.
ADIK ADAM MENGALAMI USUS TERKELUAR SEJAK LAHIR

Gambar: Sinar Harian
Bapa kepada kanak-kanak itu, Mat Noh Mohamed, 57, memaklumkan keadaan usus terkeluar yang dialami anaknya menyebabkan Mohd Adam tidak dapat mengikuti prasekolah dan gagal memulakan persekolahan Tahun Satu.
Keadaan fizikal Adam yang berisiko tinggi mengalami kecederaan dan pendarahan membuatkan dia sering kelihatan muram serta malu untuk bergaul seperti rakan seusia.
Masalah dikesan sejak lahir, pernahh jalani pembedahan
Menurut bapanya, masalah usus Adam dikesan sebaik sahaja dilahirkan apabila organ berkenaan didapati pendek dan tersumbat, sekali gus menghalangnya daripada membuang air besar secara normal.
Keadaan menjadi lebih serius ketika Adam berusia dua tahun apabila dia langsung tidak dapat membuang najis melalui dubur, menyebabkan dia menjalani beberapa pembedahan termasuk di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Namun, selepas pembedahan pada tahun 2022, sebahagian usus Adam terpaksa dibiarkan keluar dan memerlukan penggunaan beg stoma untuk pembuangan najis.
Kekangan kewangan, terpaksa guna beg plastik
Ujian keluarga itu bertambah berat apabila Mat Noh sendiri berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) selepas mengalami kecederaan serius akibat kemalangan motosikal, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan keluarga.
Disebabkan kekangan kewangan, sejak tahun lalu keluarga itu tidak lagi mampu membeli beg stoma, lalu terpaksa menggantikannya dengan beg plastik demi kelangsungan hidup anaknya.
Walaupun menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia hanya mencukupi untuk keperluan asas dan tidak mampu menampung kos perubatan.

Gambar: Amir Hamzah Nordin.
Kisah Adam dapat perhatian kerajaan negeri
Nasib Mohd Adam yang mengalami usus terkeluar akhirnya mendapat perhatian apabila kisahnya dilaporkan media tempatan.
Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) Jerantut tampil membantu dan Pejabat Kesihatan Daerah turut menilai keadaan Adam sebelum dia dirujuk untuk rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menghulurkan bantuan bagi memastikan Adam dapat mendapatkan rawatan susulan yang sepatutnya.
MUIP salurkan bekalan beg stoma
Perkembangan lebih melegakan apabila Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memaklumkan bekalan beg stoma kini telah disalurkan untuk kegunaan Mohd Adam.
Bekalan tersebut akan dihantar melalui Klinik Desa Kota Gelanggi 2 bagi memudahkan urusan keluarga, sekali gus menamatkan keperluan menggunakan beg plastik yang membahayakan kesihatan kanak-kanak itu.
MUIP turut menegaskan kepentingan rawatan susulan oleh pakar bagi memantau tahap kesihatan Adam secara berterusan.
Ekoran bantuan yang diterima, Mat Noh menzahirkan rasa syukur dan berharap dengan bantuan tersebut, Mohd Adam dapat menjalani kehidupan lebih selesa serta berpeluang memulakan persekolahan seperti kanak-kanak lain.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mat Noh Mohamed di talian 011-2644 3995 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7642005920 (Mat Noh).
Baca juga: Berat Ujian Ditanggung, Ibu Bapa OKU Besarkan Anak Usia 12 Tahun Ada 9 Masalah Kesihatan!
Sumber: Harian Metro (1), (2) / Sinar Harian
FT Image: Amir Hamzah Nordin / Sinar Harian
