Kehilangan anak kecil akibat tertinggal di dalam kereta bukan sekadar kisah duka yang menyayat hati, malah satu realiti menakutkan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Terbaharu, satu lagi kes melibatkan ibu yang kehilangan anak akibat “Forgotten Baby Syndrome” kembali membuka mata masyarakat.
Ramai beranggapan ia berpunca daripada kecuaian, namun hakikatnya ia jauh lebih kompleks kerana melibatkan fungsi ‘autopilot’ otak manusia.
FORGOTTEN BABY SYNDROME, INI CADANGAN SOLUSI UNTUK ELAK

Menurut seorang pakar teknologi tempatan, situasi ini sering berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai rutin tetap, terutamanya mereka yang menghantar anak ke taska atau nursery sebelum ke pejabat.
Dalam perkongsian yang tular di media sosial, individu berkenaan menjelaskan bahawa otak manusia cenderung masuk ke mod autopilot apabila melakukan rutin harian yang sama berulang kali.
“Apabila berlaku perubahan kecil dalam rutin — contohnya pasangan biasa menghantar anak tetapi hari itu kita pula yang ambil alih — otak boleh ‘skip’ satu langkah tanpa kita sedar,” jelasnya.
Walaupun wujud pelbagai teknologi canggih seperti sensor dan peranti pintar, hakikatnya tidak semua mampu atau tersedia di pasaran. Maka, satu solusi segera, murah dan praktikal sangat diperlukan.
Solusi Percuma Berasaskan Komuniti: Cipta ‘Visual Anomaly’

Sebagai alternatif, beliau mencadangkan satu sistem ‘fail-safe’ berasaskan komuniti, iaitu dengan mencipta isyarat visual luar biasa (visual anomaly) yang boleh menarik perhatian orang sekeliling. Matlamatnya mudah, buat sesuatu yang nampak “tak kena” supaya orang lain sedar dan bertindak. Berikut 3 solusi praktikal yang dicadangkan:
Solusi 1: Dashboard Signage (Sistem Kad Amaran)
Satu kad amaran bersaiz A5 direka khas untuk diletakkan di dashboard kereta.
Cara guna:
- Rutin: Setiap kali anak diletakkan di car seat, ibu bapa WAJIB letakkan kad kuning ini di atas dashboard bahagian pemandu.
- Drop-off: Selepas menghantar anak ke nursery, kad tersebut MESTI disimpan semula.
Fail-safe:
- Jika anda sampai di pejabat dan terlupa menghantar anak, kad ini masih kelihatan di dashboard.
Kesan:
- Rakan pejabat atau pengawal keselamatan yang melihat kereta diparkir di bawah panas dengan kad “Child on Board” akan mula rasa curiga, “Kenapa kad ni masih ada tapi kereta dah parking ofis?”. Inilah yang dipanggil visual anomaly, sekali gus mendorong mereka memeriksa kenderaan dan bertindak segera.
Solusi 2: ‘Teddy Bear Hack’ (Keselamatan Berganda)
Bagi yang risau terlupa menggunakan kad, satu objek fizikal boleh dijadikan peringatan tambahan.
Caranya:
- Letakkan patung teddy bear bersaiz besar di car seat anak.
- Apabila anak diletakkan, alih teddy bear ke dashboard depan.
Isyarat visual:
- Teddy bear di dashboard = anak berada di belakang.
- Jika orang awam melihat patung teddy di dashboard kereta berkunci di bawah panas terik, ia secara automatik menjadi isyarat untuk melihat ke dalam kereta.
Solusi 3: Gabungkan Kedua-Dua Kaedah
Langkah paling selamat adalah dengan menggabungkan sistem kad dan teddy bear sebagai perlindungan berganda. Lebih menarik, reka bentuk kad amaran ini dikongsi secara PERCUMA kepada orang ramai.
- Boleh dimuat turun
- Dicetak menggunakan kertas kuning
- Dilaminate untuk tahan lama
- Disimpan di poket pintu kereta
Kita manusia biasa. Kita boleh penat. Kita boleh terlupa. Namun dengan bantuan komuniti seperti rakan sekerja, pengawal keselamatan, malah orang yang lalu-lalang, kita boleh mencipta satu sistem saling menjaga.
Jangan bergantung 100% pada ingatan. Biarlah komuniti jadi ‘backup’ kita.
Sumber: Zaaba Ahmad
