Euforia Bola 2026
Asuh

Budak 4 Tahun Maut Tertinggal Dalam Kereta Lebih 3 Jam, Mak Ayah Tak Sedar Lepas Keluar Sarapan..

strok haba

Hati mana yang tidak luluh bila mendengar berita apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas disahkan meninggal dunia akibat strok haba.

Hal ini kerana, dipercayai kanak-kanak tersebut tertinggal di dalam sebuah kereta lebih daripada tiga jam di Gua Musang, Kelantan oleh ibu bapanya sendiri.

Baca juga: “Muka Dah Biru, Jantung Terhenti!”- Majlis Hari Jadi Bertukar Tragedi..Anak Hampir Maut Tercekik Belon

KANAK-KANAK 4 TAHUN TERTINGGAL DALAM KERETA 3 JAM, MENINGGAL SEBAB STROK HABA

strok haba

Foto: Kanak-kanak 4 tahun yang jadi mangsa.

Insiden tragis itu berlaku pada pagi Isnin, apabila keluarga mangsa dikatakan baru pulang daripada bersarapan. Difahamkan, ibu bapanya tidak menyedari bahawa anak bongsu mereka masih berada di tempat duduk belakang kereta selepas mereka keluar dan masuk semula ke rumah.

Beberapa jam kemudian, barulah mereka menyedari sesuatu yang tidak kena. Ketika pintu kenderaan dibuka, anak kecil itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa segera dibawa ke Hospital Gua Musang, namun doktor mengesahkan anak kecil itu sudah meninggal dunia akibat heatstroke (strok haba).

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.50 petang.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Patologi Forensik mengesahkan punca kematian adalah disebabkan strok haba,” jelas beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Laporan Kematian Mengejut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan serta mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memastikan keselamatan anak-anak sentiasa di bawah pemantauan rapi.

“Pihak polis juga mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Gua Musang di talian 09-9121222,” katanya lagi.

Langkah Elak Tragedi: Jangan Lupa Anak Dalam Kereta

strok haba

Foto: freepik

Kes seperti ini bukan kali pertama berlaku. Sindrom ‘Terlupa Anak’ atau Forgotten Baby Syndrome semakin kerap dilaporkan di seluruh dunia dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutama dalam keadaan tergesa-gesa atau rutin harian yang berubah.

Berikut beberapa tip penting yang disarankan oleh Raising Children Australia untuk mengelakkan kejadian sebegini:

1. Periksa tempat duduk belakang setiap kali keluar dari kereta. Jadikan ini satu tabiat wajib.

2. Buka pintu belakang walaupun tiada sesiapa di dalam. Ia membantu membentuk refleks pemeriksaan automatik.

3. Letakkan barang penting di tempat duduk belakang. Contohnya beg tangan, telefon, atau dompet — supaya anda pasti menoleh ke belakang sebelum keluar.

4. Tampal pelekat peringatan. Letak pelekat seperti “Periksa tempat duduk belakang sebelum kunci” di cermin atau pemegang pintu.

5. Gunakan sistem peringatan. Sesetengah aplikasi dan kenderaan moden mempunyai fungsi amaran jika pintu belakang masih tertutup selepas enjin dimatikan.

Tragedi ini seharusnya menjadi peringatan besar kepada semua ibu bapa dan penjaga. Dalam kehidupan yang serba sibuk, satu detik terleka boleh membawa padah yang tidak dapat diganti dengan apa pun.Ingatlah, nyawa anak lebih berharga daripada apa jua urusan lain.

Baca juga: Jenis Car Seat Untuk Bayi, Ini 4 Garis Panduan Pilih Ikut Umur, Berat & Ketinggian

Sumber: Sinar Plus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×