Seorang ibu yang menyangka rutin hariannya berjalan seperti biasa tidak menyedari satu kesilapan fatal sehingga waktu kerja berakhir. Dalam tragedi menyayat hati ini, dipercayai si ibu tidak sedar telah tinggal anak dalam kereta selama beberapa jam, sebelum kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu ditemui meninggal dunia di Seremban, petang semalam.
Kejadian menyedihkan itu dilaporkan berlaku di belakang sebuah bank berhampiran Jalan Tunku Hassan, Seremban, apabila mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah Proton Saga berwarna putih yang diparkir di kawasan berkenaan.
Baca juga: Berat Ujian Ditanggung, Ibu Bapa OKU Besarkan Anak Usia 12 Tahun Ada 9 Masalah Kesihatan!
TAK SENGAJA TINGGAL ANAK DALAM KERETA

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 6.15 petang daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kereta itu seawal jam 8 pagi. Kanak-kanak berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ibu mangsa terlupa menghantar anaknya ke tempat pengasuh
Menurut beliau, ibu mangsa dipercayai terlupa untuk menghantar anaknya ke tempat pengasuh sebelum masuk bekerja. Keadaan itu hanya disedari sekitar jam 5 petang selepas wanita tersebut selesai waktu kerja dan menyedari anaknya masih berada di dalam kereta.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam masa sama, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.
Baca juga: [VIDEO] Ibu Menangis Hiba Terjumpa Insan Muka Seiras Anak Dah Meninggal Dunia 3 Tahun Di Tanah Suci

Sementara itu, seorang pekerja kedai pakaian berkata, dia bergegas keluar selepas mendengar jeritan seorang wanita di belakang premis berkenaan.
“Saya dan rakan segera melihat apa yang berlaku dan dimaklumkan terdapat kanak-kanak yang tidak sedarkan diri dalam kereta.
“Ada juga yang cakap ibu kanak-kanak itu bekerja di sebuah bank dan dipercayai terlupa anaknya tertinggal di dalam kenderaan,” katanya.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Sinar Harian / Harian Metro
