Euforia Bola 2026
Rakyat

Emas Catat Rekod Tertinggi Sepanjang Masa, Harga Hari Ini Cecah RM655 Segram!

harga semasa emas

Harga semasa emas mencipta sejarah apabila melepasi paras AS$5,200 seauns (sekitar RM655 segram) buat julung kalinya hari ini, susulan lonjakan ketara lebih tiga peratus dalam dagangan sebelumnya.

Peningkatan itu didorong kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS) ke tahap paling rendah dalam hampir empat tahun, selain kebimbangan geopolitik global yang masih berlarutan menjelang keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed).

Baca juga: KKM Jelas Kesiapsiagaan & Langkah Cegah Jangkitan Virus Nipah Di Malaysia, Awas Dengan Tanda Ini!

HARGA SEMASA EMAS HARI INI CECAH RM655 SEGRAM

HARGA SEMASA EMAS

Freepik

Dalam dagangan awal pagi, harga emas spot meningkat 1.1 peratus kepada AS$5,243.58 seauns sekitar jam 0314 GMT, selepas mencecah paras tertinggi baharu AS$5,247.21. Secara keseluruhan, logam berharga itu telah mencatat kenaikan melebihi 20 peratus sejak awal tahun ini.

Kontrak niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Februari turut melonjak 3.1 peratus kepada AS$5,237.70 seauns.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Kelvin Wong, berkata pergerakan harga emas itu didorong oleh hubungan songsang yang kukuh antara emas dan dolar AS.

Menurutnya, kenaikan mendadak dalam sesi dagangan AS sebelum ini dipengaruhi oleh kenyataan Presiden Donald Trump yang memberi gambaran bahawa pentadbiran Rumah Putih cenderung untuk mengekalkan nilai dolar yang lebih lemah pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, dolar AS terus berada di bawah tekanan dan berdepan krisis keyakinan apabila diniagakan berhampiran paras terendah empat tahun. Tekanan jualan semakin meningkat selepas Trump menyifatkan nilai dolar sebagai “hebat” ketika ditanya mengenai prestasi mata wang itu, sekali gus menimbulkan reaksi bercampur dalam kalangan pelabur.

Pada masa sama, tahap keyakinan pengguna AS merosot ke paras paling rendah dalam tempoh lebih 11 tahun, dipengaruhi kebimbangan terhadap kelembapan pasaran pekerjaan serta kos sara hidup yang kekal tinggi.

Trump turut memaklumkan bahawa beliau akan mengumumkan calon bagi jawatan pengerusi bank pusat AS dalam masa terdekat, selain menjangkakan kadar faedah akan mula menurun sebaik sahaja pengerusi baharu mengambil alih kepimpinan.

Fed pula dijangka mengekalkan kadar faedah semasa dalam mesyuarat dasar monetari Januari yang sedang berlangsung.

HARGA SEMASA EMAS

Kredit: Maybank

Wong menjelaskan, paras rintangan terdekat bagi harga emas dianggarkan sekitar AS$5,240 seauns.

Sementara itu, Deutsche Bank berpandangan harga emas berpotensi meningkat sehingga AS$6,000 seauns menjelang 2026, disokong permintaan pelaburan berterusan apabila bank pusat serta pelabur global menambah pegangan terhadap aset fizikal dan bukan berasaskan dolar.

Dalam pasaran logam lain, harga perak spot naik 1.9 peratus kepada AS$115.11 seauns selepas mencecah paras tertinggi rekod AS$117.69 pada Isnin, dengan kenaikan hampir 60 peratus direkodkan setakat tahun ini.

Harga platinum pula meningkat dua peratus kepada AS$2,692.60 seauns selepas mencatat paras tertinggi AS$2,918.80, manakala paladium menokok 1.4 peratus kepada AS$1,961.68 seauns.

Baca juga: KPM Pertimbang Buat Prasekolah Dua Sesi Tahun 2027, Untuk Elak Sesak Di Sekolah

Sumber: Reuters

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×