Cara anak Johan dididik mencuri tumpuan selepas dia berkongsi kisah memilih pengalaman hidup sebagai pengajaran penting untuk membentuk sikap tidak mementingkan diri dalam kalangan anak-anaknya.
Menerusi satu perkongsian di media sosial Threads, Johan mendedahkan keputusan menghantar anak lelakinya, Ahmad Sodiq Hanania atau dikenali sebagai Sodiq, ke sebuah rumah anak yatim sebagai langkah pendidikan selepas menyedari sikap anaknya yang sukar berkongsi dengan orang lain.
Baca juga: Mahkamah Tinggi Tolak Rayuan Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Terus Jalani Penjara 5 Tahun
ANAK JOHAN DIHANTAR KE RUMAH ANAK YATIM KERANA TAK SUKA KONGSI BARANG

Menurut Johan, Sodiq menunjukkan kecenderungan untuk menyimpan segala miliknya sendiri dan tidak selesa berkongsi walaupun dengan ahli keluarga terdekat.
“Sikap ini bukan sahaja melibatkan barang peribadi, malah makanan dan pakaian juga dia sukar untuk berkongsi. Dari situ saya rasa dia perlu belajar secara langsung tentang nilai empati dan kesyukuran,” jelasnya.
Johan menjelaskan, keputusan tersebut bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hadir selepas Sodiq dan adiknya, Haziq, terlibat dalam satu kesalahan yang memerlukan pengajaran lebih bermakna.
“Saya bawa kedua-dua mereka tinggal di rumah anak yatim selama tiga hari. Bukan untuk menghukum, tetapi supaya mereka melihat sendiri kehidupan berbeza dan belajar menghargai apa yang mereka ada,” ujarnya.
Perkongsian itu menerima reaksi positif daripada orang ramai yang rata-rata menyifatkan pendekatan Johan sebagai langkah berani namun berkesan dalam mendidik anak agar lebih rendah hati dan tidak bersikap kedekut.

Tidak kurang juga warganet yang berkongsi pengalaman sama, mengakui berdepan cabaran mendidik anak yang sukar berkongsi dan masih mencari kaedah terbaik untuk membentuk sikap lebih positif.
Dalam perkembangan berkaitan, Johan sebelum ini pernah menegaskan bahawa hasil kerja keras dan kekayaan yang dikumpulnya bukan untuk diwariskan kepada anak-anak, sebaliknya demi kebahagiaan isterinya, Ozlynn Waty.
Dia turut menjelaskan bahawa tanggungjawabnya kini adalah memastikan keperluan keluarga dipenuhi, namun aspek pendidikan, ilmu dan pembentukan sahsiah anak-anak tetap menjadi keutamaan sebagai bekalan masa depan tanpa bergantung kepada harta peninggalan ibu bapa.
Baca juga: Adik Terjatuh Parit Tangkap Ikan Laga, Abang 12 Tahun Lemas Ketika Cuba Selamatkan
Sumber: Kartseeni
