Euforia Bola 2026
Rakyat

Dari Dapur Istana Ke PPS, Keprihatinan Tengku Ampuan Pahang Buat Ramai Tersentuh…350 Pek Sarapan Untuk Mangsa Banjir Di Kuantan

istana abdulaziz

Pegawai dan kakitangan di Istana Abdulaziz, Kuantan tidak menang tangan sejak awal pagi semalam demi memastikan titah Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Tengku Ampuan Pahang dapat dilaksanakan, khususnya dalam membantu mangsa banjir yang terjejas.

Baca juga: Tunku Azizah Kongsi ‘Rahsia’ Macam Mana Nak Anak Tinggi Macam Tengku Hassanal, Usia 4 Bulan Dah Makan Hati Ayam!

Dari Dapur Istana Abdulaziz, Kuantan, 350 Pek Sarapan Untuk Mangsa Banjir

Istana Abdulaziz

Foto: Kesultanan Pahang

Seawal jam 6 pagi pada 18 Disember 2025, seramai kira-kira 20 orang petugas termasuk cef istana berganding bahu menyediakan sebanyak 350 pek makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Dato’ Sri Abdul Manan, Kuantan.

Walaupun kebiasaannya KDPB Tengku Ampuan Pahang sendiri akan turun ke dapur dan menginsing lengan memasak setiap kali musibah banjir melanda negeri Pahang, situasi kali ini sedikit berbeza. Paduka Baginda sekeluarga sedang berada di Bangkok, Thailand bagi memberikan sokongan padu kepada Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara yang mewakili Malaysia dalam sukan polo sempena Sukan SEA 2025.

Namun begitu, hasrat murni Paduka Baginda untuk membantu mangsa banjir tetap direalisasikan. Dengan arahan dan titah yang dizahirkan, para petugas istana mengambil tanggungjawab penuh menyediakan sarapan pagi berupa nasi goreng kampung telur mata, bihun goreng telur mata serta nasi goreng telur mata untuk diagihkan kepada mangsa.

YAM TENGKU PANGLIMA RAJA SANTUNI MANGSA BANJIR

Istana Abdulaziz

Foto: Kesultanan Pahang

YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengambil tugas menyantuni mangsa banjir di tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar daerah Kuantan semalam.

Bukan itu sahaja, YAM Tengku Panglima Raja yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) diiringi isteri, Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz turut menitipkan nasihat buat mereka yang dilanda musibah di samping menyampaikan kurniaan.

Pengagihan makanan turut dibantu oleh Pasukan Bantuan Bencana Majlis Kesultanan Pahang yang turun padang ke PPS terlibat bagi memastikan sumbangan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Usaha ini sekali lagi mencerminkan keprihatinan dan sifat kasih sayang institusi diraja Pahang terhadap rakyat, khususnya ketika berdepan saat-saat sukar akibat bencana alam. Inisiatif dari dapur istana ini bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, malah menjadi simbol sokongan moral dan kebersamaan antara raja dan rakyat. Terima kasih Tuanku!

Baca juga: Kenali Wajah Putera & Puteri Kerabat Diraja Pahang, Pasti Ramai Nak Tahu!

Sumber: Kesultanan Pahang

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×