Setiap pengantin baharu pasti mengimpikan hari perkahwinan yang indah dan penuh kenangan. Sebab itulah, sesi fotografi pengantin sering dianggap antara momen paling ‘wajib’ bagi merakam detik bergelar raja sehari. Namun, siapa sangka sesi photoshoot biasa bertukar menjadi kenangan luar biasa apabila terserempak dengan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang!
Baca juga: Kenali Wajah Putera & Puteri Kerabat Diraja Pahang, Pasti Ramai Nak Tahu!
‘Raja sehari’ tak sangka bertemu ‘raja setiap hari’, Sultan Pahang & Tengku Ampuan Pahang

Foto pengantin bersama Sultan Pahang & Tengku Ampuan Pahang.
Tular di media sosial satu video memaparkan detik istimewa apabila sepasang pengantin yang secara tidak sengaja terserempak dengan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi video yang dikongsikan oleh TikTok @fatinsuhana_, kejadian itu berlaku ketika pasangan pengantin tersebut sedang menjalani sesi photoshoot luar berhampiran kawasan Istana Temerloh.
Dalam rakaman berkenaan, kelihatan kenderaan rasmi Sultan Pahang berhenti di tepi jalan sebelum Baginda dan Tengku Ampuan berkenan turun dari kenderaan untuk menyapa pasangan pengantin tersebut.
Beramah mesra, siap hulur ‘angpau’

Apa yang lebih menyentuh hati, Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang dilihat sangat ramah dan mesra dengan pasangan mempelai berkenaan.
Lebih mencuri perhatian, Tunku Azizah turut menghulurkan sampul sebagai tanda ingatan kepada pasangan tersebut yang merupakan satu momen yang jarang, malah mungkin tidak pernah terlintas di fikiran sesiapa.
“Pagi tadi tengah shoot pengantin outdoor dekat belakang Istana Temerloh, pengantin dapat angpau dari Tuanku masa shoot outdoor,” tulis @fatinsuhana_ pada kapsyen video tersebut.
Video berkenaan pantas mencuri perhatian netizen dan dibanjiri pelbagai reaksi. Rata-rata menyifatkan pasangan pengantin itu sangat bertuah kerana memperoleh pengalaman yang bukan semua orang berpeluang rasai. Antara komen yang mencuit hati:
“Bertuah sangat pasangan mempelai ni…”
“Kenangan teramat terindah tahun 2026, bukan senang nak dapat…”
“Isi dalam sampul tak penting, sampul tu yang paling bernilai!”
Bagi pasangan pengantin tersebut, pertemuan tidak dirancang itu pastinya menjadi kenangan manis seumur hidup malah mungkin akan diceritakan kepada anak cucu kelak. Simpan gambar yang diambil bersama Sultan Pahang serta Tuanku Ampuan Pahang elok-elok ya!
@fatinsuhana_ pagi tadi tgh shoot pengantin outdoor dekt belakang istana temerloh, pengantin dapat angpaw dari tuanku masa shoot outdoor 🤍 @Shahmirul ♬ original sound – aten
Baca juga: ‘Prince Charming’ Di Alam Nyata, Ini Biodata Penuh Tengku Hassanal Yang Ramai Nak Tahu!
Sumber: Tiktok @fatinsuhana_, Tiktok @shahmirul
