Suasana pilu menyelubungi sebuah keluarga di Jalan Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka apabila seorang budak lelaki berusia lima tahun, Muhd Iman Nazhan, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan tragis dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.
Insiden yang berlaku itu meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada saksi kejadian yang tidak mampu menahan sebak menyaksikan detik cemas berkenaan. Tangisan dan jeritan orang ramai tidak dapat mengubah takdir, apabila si kecil itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Detik Terakhir Budak Lelaki Bernama Iman, “Nak Kejar Kakak Lintas Jalan”

Foto: Arwah Muhd Iman
Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai, berkongsi di laman Facebook suasana sayu ketika menguruskan jenazah si kecil itu. Menurutnya, saat ibu bapa dan ahli keluarga mencium wajah Muhd Iman adalah detik yang paling meruntun perasaan.
“Ibu bapa serta ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika menatap dan mencium wajah jenazah anak syurga ini. Difahamkan, arwah sedang bermain bersama kakaknya di hadapan rumah sebelum secara tiba-tiba melintas jalan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menerima ketentuan Ilahi dengan penuh reda.
Bapa Tidak Sangka Anak Terlibat Nahas, Orang Awam Diminta Bantu Siasatan

Foto Sinar Harian: MPV yang terlibat dalam kemalangan.
Memetik laporan Malaysia Gazette, kejadian berlaku sekitar jam 5.09 petang. Bapa mangsa, Jasri Sainal, 39 tahun, berkata ketika itu dia sedang mengawasi lembu di seberang jalan, manakala arwah bermain bersama kakaknya di hadapan rumah di bawah pengawasan ibu mereka.
“Secara tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat. Orang ramai mula berkerumun dan hati saya terdetik agar kemalangan itu tidak melibatkan anak saya. Namun sangkaan itu meleset,” katanya dengan nada sebak.
Jelasnya, Muhd Iman yang merupakan anak kelima daripada enam beradik tidak pernah bermain di jalan raya sebelum ini. Ketika kejadian, seorang lagi anak perempuannya melintas jalan ke arah beliau tanpa disedari, dan arwah dipercayai cuba berlari mengikutinya namun tidak sempat.
“Isteri saya memang perhatikan mereka bermain di depan rumah. Tak sangka, dalam sekelip mata, nasib memanggilnya ‘pergi’,” tambahnya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar, memaklumkan MPV berkenaan dipercayai bergerak dari arah Paya Mengkuang menuju ke Masjid Tanah. Mangsa dikatakan melintas dari kawasan perumahan ke seberang jalan sebelum dirempuh kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 64 tahun, yang bekerja sebagai penyelia.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dibawa ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati terdapat kesan brek kira-kira lima meter di lokasi kejadian, selain logo dan plat pendaftaran kenderaan tercabut akibat impak perlanggaran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut masih dijalankan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di Balai Polis Trafik Alor Gajah menerusi talian 011-2543 5507 atau hadir ke balai polis berhampiran.
*Tragedi ini menjadi peringatan buat semua tentang betapa pantasnya takdir berlaku. Semoga roh Allahyarham Muhd Iman ditempatkan dalam kalangan orang beriman, dan keluarganya diberi kekuatan menghadapi ujian berat ini.
Sumber: Mr Wan Chai Official, Malaysia Gazette
