Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang jatuh flat dari tingkap tingkat lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama, Johor Bahru, dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal.
Baca juga: Lepasan Tahfiz & UEC Kini Berpeluang Sambung Pengajian Di IPTA, KPT Buka Laluan Lebih Inklusif
BUDAK LELAKI JATUH FLAT DARI TINGKAT 5

Foto: Sinar Harian
Kejadian menyayat hati yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi itu mengundang kebimbangan ramai, lebih-lebih lagi apabila mangsa dikatakan ditemui terbaring di kawasan parkir di bawah flat berkenaan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kanak-kanak warga tempatan itu mengalami kecederaan serius pada bahagian wajah, kepala dan leher selain dipercayai mengalami pendarahan dalaman akibat impak jatuh dari tingkat lima.
Mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Dipercayai Jatuh Kerana Panjat Tingkap Guna Sofa
Menurut siasatan awal polis, mangsa dipercayai memanjat tingkap ruang tamu menggunakan sofa yang berada berhampiran tingkap tersebut.
Difahamkan, tingkap rumah berkenaan berada dalam keadaan sedikit terbuka dan tidak berkunci ketika kejadian berlaku.
Polis turut memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Foto: Sinar Harian
Dalam pada itu, beberapa penduduk flat mendakwa terdengar jeritan kuat dipercayai daripada ibu mangsa sejurus menyedari anak kecilnya terjatuh.
Suasana di kawasan flat tersebut juga dikatakan menjadi kecoh apabila orang ramai mula berkumpul untuk membantu sebelum ambulans tiba di lokasi kejadian.
Difahamkan, keluarga mangsa baru beberapa bulan berpindah ke PPR berkenaan.
Keselamatan Rumah Bertingkat Perlu Diberi Perhatian
Insiden ini sekali lagi membuka mata ramai tentang pentingnya aspek keselamatan di rumah, terutama bagi keluarga yang mempunyai anak kecil dan tinggal di kediaman bertingkat.
Ramai ibu bapa mungkin tidak sedar bahawa sofa, kerusi atau perabot yang diletakkan berhampiran tingkap boleh menjadi “laluan” mudah untuk anak-anak memanjat.
Antara langkah keselamatan yang boleh diambil termasuk:
- Mengalihkan perabot jauh daripada tingkap dan balkoni
- Memastikan tingkap sentiasa berkunci
- Memasang penghadang keselamatan pada tingkap
- Tidak meninggalkan anak kecil tanpa pemantauan walaupun sekejap
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan kediaman bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Sumber: Sinar Harian
FT Images: Sinar Harian
