Euforia Bola 2026
Inspirasi

Tersungkur Akibat D*dah, Bekas Banduan Ini Bangkit Melalui Ijazah Sarjana Demi Maruah Anak-Anak

bekas banduan

Gelaran bekas banduan bukan noktah terakhir dalam hidup seseorang. Kadang-kadang, ia hanya titik mula kepada kebangkitan yang lebih besar. Inilah kisah penuh inspirasi saudara Mohd Khairul Ab Aziz yang membuktikan masa silam kelam tidak mampu memadam masa depan cerah.

Ijazah sarjana yang digenggam bukan sekadar skrol akademik. Ia adalah usaha memulihkan maruah, serta pesan paling jujur buat dua anak yang ingin dia temui semula.

Baca juga: Tular Pak Cik E-Hailing Baik Hati Hantar Ke Hospital, Kini Kembali Bertemu Semula Di Majlis Konvo Si Gadis!

BEKAS BANDUAN BINA KEHIDUPAN BARU MELALUI PENDIDIKAN

bekas banduan

Gambar BERNAMA

Pada tahun 2016, kehidupannya berubah 360 darjah apabila dipenjarakan selama lima tahun atas kesalahan dadah. Namun, di sebalik tirai besi, Allah hadirkan titik hidayah yang membuka peluang baru.

Keputusan untuk menyambung pengajian tercetus sekitar tahun 2020, apabila Khairul terinspirasi daripada penceramah Hafizi Harun yang hadir berkongsi perjalanan hidup dalam program Pembimbing Rakan Sebaya Teraputik Komuniti yang dianjurkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Khairul sempat belajar di dalam Penjara Seberang Perai selama lima bulan. Sepanjang tempoh itu, sumber rujukan amat terhad. Tetapi kekurangan itu tidak mematahkan semangatnya.

Selepas menerima skrol Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan dalam Upacara Konvokesyen Ke-63 anjuran Universiti Sains Malaysia, Mohd Khairul berkongsi isi hati kepada pemberita.

“Saya lakukan semua ini untuk anak-anak. Saya mahu mereka melihat bahawa saya sedang berusaha memulihkan maruah yang pernah saya sendiri jatuhkan.

“Saya akui saya pernah tersilap langkah, namun saya bukan lagi insan yang dulu dan setiap hari saya berjuang untuk membuktikan perubahan itu kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menerima skrol Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan pada Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM).

Momen itu turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor USM, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed, serta Timbalan Pengarah Penjara Seberang Perai, Rozita Muhamad Shariff.

Di dalam penjara, Khairul hanya dibenarkan menggunakan internet selama satu jam setengah untuk mencari bahan rujukan. Nota-nota akan dicetak, kemudian dibawa ke sel untuk dibaca ulang kali. Tiada kemudahan mewah, yang ada hanya tekad dan disiplin.

Selepas dibebaskan pada Disember 2021, dia tidak lagi menoleh ke belakang. Dengan sokongan keluarga dan penyelia, baki pengajian disambung hingga selesai dan akhirnya, sarjana berjaya digenggam.

Baca juga: Hebat! Bapa Usia 57 Rela Ambil Semula SPM Matematik & Add Math Demi Jadi ‘Rakan Belajar’ Anak

Pencapaian luar biasa — Kajian pertama tentang kokain di Malaysia 

bekas banduan

Gambar BERNAMA

Antara perkara paling membanggakan, Khairul telah menjalankan kajian pertama di Malaysia terhadap penggunaan kokain. Kajian ini turut dipetik dalam laporan antarabangsa oleh UNODC di Vienna, Austria pada tahun 2023.

“Saya tidak boleh buang gelaran bekas banduan, sebab itulah saya gunakan transformasi melalui pendidikan dengan menambah pengetahuan kerana dengan ilmu kita boleh gunakan untuk bantu mereka yang terjebak dengan dadah untuk berubah.

“Bagi saya tidak mustahil untuk berubah dan yang penting perubahan itu perlu datang daripada diri sendiri. Apabila sudah ada keinginan, kita kena cari jalan dan sokongan sosial itu juga penting,” katanya.

Kini, dirinya sedang membina kehidupan baru dan memulakan perniagaan makanan ringan di Kuala Lumpur. Tidak berhenti di situ, Khairul juga menyimpan impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD) jika diberi peluang dan keizinan masa.

Sementara itu, ibunya, Sarinah Abdullah turut berkongsi rasa bangga.

“Mak cik tidak pernah putus berdoa untuk dia dan hari ini gembira melihat perubahan dilaluinya dalam kehidupan. Mak cik harap dia akan terus berjaya dan tidak kembali lagi dengan kehidupan sebelum ini,” katanya.

Baca juga: Selepas Ambil 10 Kali SPM & 2 Kali STPM, Pemuda OKU Ini Bangkit Dan Akhirnya Berjaya Jadi Guru Di Usia 37!

Sumber: BERNAMA

FT Image: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×