Seorang bekas banduan, Dr Malik Yatam kini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama di Malaysia yang berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika berada dalam penjara, sebelum menerima pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Baginda pada tahun 2024.
Baca juga: Harga Terkini Kos Bersalin Di Hospital Kerajaan Dari Kelas 1 Hingga Kelas 3, ‘Save’ Untuk Rujukan!
BEKAS BANDUAN CIPTA SEJARAH, PERTAMA DI MALAYSIA RAIH PHD

Ini bukanlah plot filem atau cerita rekaan, sebaliknya realiti pahit yang pernah dilalui olehnya dan hari ini dikenali sebagai Doktor. Kisah hidupnya ini menjadi cerminan bahawa sering kali kita merasakan ujian yang dilalui sudah cukup berat, namun apabila menelusuri perjalanan hidup insan lain, barulah kita benar-benar memahami makna syukur.
Walaupun ditentang hebat oleh ibu bapanya atas faktor usia yang terlalu muda serta ketiadaan kenalan di Semenanjung Malaysia, Malik tetap melangkah pergi dengan penuh harapan.
Namun setibanya di Kuala Lumpur pada tahun 2001, impian tersebut berkecai apabila Malik bersama lapan rakan lain ditipu dan dijadikan buruh paksa tanpa sebarang gaji. Dokumen pengenalan diri dirampas, kebebasan disekat, malah mereka sering dipukul sekiranya gagal menuruti arahan.
Selepas lima bulan menderita, takdir membawa Malik ke satu malam yang menjadi titik hitam dalam hidupnya. Melihat pintu grill terbuka, dia cuba melarikan diri daripada ‘neraka’ yang menghimpit kehidupannya.
Namun cubaan tersebut disedari majikannya yang kemudian bertindak memukulnya dengan kejam. Dalam keadaan terdesak demi mempertahankan nyawa, Malik mencapai pisau yang digunakan dalam tugasnya sebagai tukang masak, lalu berlaku pergelutan yang menyebabkan majikannya tertikam dan meninggal dunia.
Malik kemudiannya melarikan diri ke lapangan terbang dengan saki-baki wang yang ada untuk pulang ke Sabah. Namun tepat jam 6 pagi, sebelum sempat menaiki pesawat, dia ditahan pihak polis.
Disebabkan usianya ketika itu masih di bawah 18 tahun, Malik terlepas daripada hukuman gantung, sebaliknya dijatuhi hukuman Tahanan Limpahan Sultan, iaitu penjara tanpa tempoh pembebasan yang ditetapkan dan bergantung sepenuhnya kepada pengampunan Tuanku.
Sentiasa berusaha walau di dalam penjara

Di sebalik tembok batu dan jeriji besi, Malik menemukan sinar baharu dalam hidupnya. Walaupun latar pendidikannya ketika itu hanya sehingga darjah enam dan tidak tahu membaca, penjara dijadikan medan pembelajaran dan universiti kehidupan.
Dengan ketekunan luar biasa, dia berjaya menggenggam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah, Sarjana dan akhirnya meraih Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Perjalanan akademik tersebut bukan tanpa cabaran kewangan, namun aturan Tuhan itu indah dan penuh hikmah. Pengajian peringkat SPM dan STPM dibiayai melalui bantuan zakat mualaf, manakala pengajian Ijazah mendapat dermasiswa penuh daripada Open University Malaysia (OUM).
Pada peringkat Sarjana pula, dia menerima sokongan biasiswa daripada individu berhati mulia yang percaya kepada potensinya tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Puncaknya, pengajian PhD itu ditaja sepenuhnya oleh OUM, sekali gus menjadikan Dr. Malik Yatam sebagai graduan PhD pertama dari balik tirai besi.
Selepas 24 tahun meringkuk di sebalik tirai besi, Dr. Malik akhirnya menerima pengampunan daripada Sultan Selangor. Dia pulang ke pangkuan keluarga di Sabah bukan lagi sebagai seorang banduan, tetapi sebagai seorang ilmuwan dan usahawan tani.
Baca juga: “Sakit Hati Saya Tengok…” Ibu Budak Mangsa Dihempap Penghadang Jemaah Masjid Tampil Beri Penjelasan
Sumber: Facebook Selangor Royal Office & Muhammad Azmi Jamaludin
