Euforia Bola 2026
Inspirasi

Selepas Ambil 10 Kali SPM & 2 Kali STPM, Pemuda OKU Ini Bangkit Dan Akhirnya Berjaya Jadi Guru Di Usia 37!

lelaki oku

Dalam kehidupan, kita sering menemukan pelbagai cerita yang dapat membuka mata tentang makna kesungguhan. Begitu jugalah kisah seorang lelaki OKU yang dikongsikan Che Ainun Nasihah Ismail, yang juga merangkap abang disayanginya sepenuh hati.

Di mana, abangnya telah membuktikan bahawa perjalanan seseorang tidak pernah ditentukan oleh kekurangan, tetapi oleh tekad dan semangat yang tidak pernah padam.

Baca juga: Erra Fazira Bangga Anak Terbit Buku Pertama Inspirasi Kisah Fatimah Az-Zahra, Engku Emran Luah Rasa Syukur

LELAKI OKU USIA 37 TAHUN AKHRINYA BERJAYA JADI SEORANG GURU

lelaki oku

Gambar: Che Ainun Nasihah Ismail bersama abangnya.

“Abang dilahirkan songsang dan proses kelahiran yang rumit menyebabkan dia mengalami masalah perkembangan sejak kecil.

“Slow learner kata mereka, gagap teruk, selalu hilang dalam dunianya sendiri, dibuli secara fizikal dan mental di sekolah walaupun ayah kami seorang guru di sekolah itu,” tulisnya di laman Facebook.

Perjalanan pendidikan abangnya tidak pernah mudah kerana telah mengambil SPM sehingga 10 kali, dan pada suatu ketika pernah memberitahu ibunya bahawa itu mungkin percubaan terakhir.

Ada hari-hari di mana air mata abangnya tumpah kerana tekanan dan rasa kecewa yang terlalu besar untuk ditanggung. Namun ujian itu tidak mematahkan semangatnya.

Kemudian, abangnya mencuba STPM sebanyak dua kali. Dan daripada usaha yang tidak pernah berhenti itu, lahirlah sebuah kejayaan dengan menamatkan pengajian di peringkat ijazah dan seterusnya melanjutkan pula ke DPLI.

Dalam masa yang sama, abangnya telah melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjadi pengawal keselamatan di hospital, sekolah, rumah orang tua dan turut membantu ayah mereka di sawah. Hidupnya penuh usaha, tanpa pernah sekalipun meminta simpati.

Baca juga: Bayi Baru 30 Hari Ikut Pergi Konvo, Raikan Kejayaan Ibunya Rangkul 2 Anugerah Tertinggi UniSZA!

Selepas itu, sesi temu duga yang merupakan hari penting dan dinantikan abangnya pula tiba. Di penghujung pertemuan, diminta menjelaskan mengenai kad OKU yang dimiliki.

Dengan penuh jujur dan tenang, abangnya memberitahu bahawa dirinya tergolong dalam kategori OKU pembelajaran.

Usai temu duga, abangnya melangkah keluar dan terus mendapatkan ibu. Lalu menangis, mungkin kerana lega, mungkin juga kerana merasakan perjuangan panjangnya akhirnya menemui sinar.

Dan hari yang ditunggu itu benar-benar datang.

Akhirnya, pada usia 37 tahun, abangnya sah bergelar seorang guru. Satu permulaan baharu yang penuh makna setelah perjalanan yang begitu panjang dan penuh cabaran.

Walau bergelar pendidik kini, abangnya itu tetap insan yang sama. Abang yang sederhana, jujur dan berhati baik.

Sama seperti watak Forrest Gump di akhir cerita, dirinya tidak berubah, tetapi sejarah hidupnya menjadi bukti ketabahan luar biasa seorang manusia yang tidak pernah mengalah.

Benar, abangnya menerima sokongan besar daripada ibu bapa dan adik-beradik. Namun hakikat yang harus diakui ialah seseorang itu tidak akan mampu dibantu sekiranya dia sendiri tidak mahu berusaha.

Dan dalam kisah ini, dialah yang memilih untuk bangkit, untuk bertahan dan membantu dirinya sendiri, lalu Allah bukakan jalannya satu persatu.

“Semoga perjalanan baharu ini membawa keberkatan dan kejayaan yang berpanjangan. Keluarga akan terus ada untuknya, sebagaimana abang terus teguh dengan dirinya sendiri sejak dahulu.

“Semoga maju jaya, Ed. Kijo molek,” tulis Che Ainun menamatkan perkongsiannya.

Baca juga: Pemain Catur Muda Malaysia Juara Di Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia Ke-19, Tewaskan Peserta 16 Negara!

Sumber: Che Ainun Nasihah Ismail

FT Image: Che Ainun Nasihah Ismail

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×