Euforia Bola 2026
Inspirasi

Kekurangan Tak Halang Zulfaqar Aslam Genggam Ijazah, Pempengaruh OKU Ini Kini Bergelar Graduan UniSZA

Zulfaqar Aslam

Zulfaqar Aslam Zulkefli, membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukanlah alasan untuk menyerah dalam kehidupan.

Pemuda berusia 24 tahun ini baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan kini menjadi inspirasi kepada ribuan orang melalui kandungan motivasi di media sosial.

Baca juga: Dari Remaja Buat Bedak Sejuk Tradisional, Kini Usia 80 Tahun, Produk Puan Saad Berjaya ‘Terbang’ Ke Jepun!

KEJAYAAN PEMPENGARUH OKU ZULFAQAR ASLAM BERI INSPIRASI

Zulfaqar Aslam

Dilahirkan dengan penyakit cerebral palsy, Zulfaqar tidak pernah menjadikan keadaan itu sebagai penghalang untuk menuntut ilmu. Sebaliknya, dia menjadikan cabaran itu sebagai pendorong untuk terus berjuang dan memberi inspirasi kepada orang lain.

“Melalui media sosial, saya hendak tunjuk kepada masyarakat bahawa OKU juga mampu hidup berdikari, belajar, bekerja dan memberi inspirasi kepada orang lain. Saya mahu ubah persepsi bahawa kekurangan itu bukan kelemahan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA baru-baru ini.

Anak sulung daripada empat beradik ini semakin dikenali di platform TikTok, di mana beliau sering berkongsi video tentang kehidupannya sebagai pelajar OKU di kampus.

Kandungan tersebut bukan sahaja memberi semangat kepada masyarakat, malah membuka mata ramai bahawa golongan istimewa juga boleh hidup berdikari.

Zulfaqar yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu, merupakan anak kepada pasangan pesara guru, Zulkefli Mamat dan Rohana Sulong. Menurutnya, keluarga adalah sumber kekuatan utama dalam setiap langkah kejayaannya.

Antara cabaran terbesar yang dihadapinya sepanjang pengajian adalah untuk meyakinkan orang sekeliling bahawa dirinya juga mampu melakukan tugasan seperti pelajar lain.

“Kadangkala orang nampak saya ada kekangan fizikal, terus rasa kasihan atau tidak yakin. Tapi saya nak buktikan yang saya boleh berdikari dan aktif dalam pelbagai aktiviti universiti,” katanya dengan senyuman.

Baca juga: Pernah Dibuli, Murid Tahun 2 Bangkit Cipta Malaysia Book of Records Pakai Kasut Berpaku Lakukan Karate Kata

Zulfaqar Aslam

Kisah kejayaan Zulfaqar nyata menyentuh hati ramai. Berdasarkan pemerhatian penulis di TikTok Zulfaqar, rata-rata warga maya membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan rasa kagum terhadap semangat luar biasanya.

“Dia yang happy-happy konvo, aku pulak yang nangis. Tahniah! Semoga terus maju jaya dan jadi inspirasi untuk semua orang.

“Suka la prof-prof itu semua, mesti bangga dengan awak. Tengoklah mereka meraikan kejayaan awak. Begitulah indahnya ilmu pendidikan, semakin tinggi semakin tunduk.

“Aslam… anda layak dihargai dan dihormati. Ilmu akan menaikkan martabat seseorang. Gambar konvo paling epik, semua bangun tumpang bangga! Tak perlu shoot susah-susah, berdepan terus, no protokol… lebih enjoy kan. Ilmu demi faedah insan,” antara komen warga maya yang ditinggalkan.

Ucapan penuh semangat itu membuktikan bahawa perjuangan Zulfaqar bukan sekadar tentang segulung ijazah, tetapi simbol kekuatan, ketabahan dan inspirasi buat seluruh masyarakat.

@ak_aslamm

Alhamdulillah saya Dah berkonvo di UniSZA hari ini terima kasih kepada semua daripada rakan-rakan, pensyarah dan pengurusan UniSZA sepanjang 4 tahun ini #oku #unisza

♬ original sound – Zulfaqar Aslam – Zulfaqar Aslam

Baca juga: Kenali Mastermind Misi GSF Remaja Ada Sindrom Asperger, Greta Thunberg Cetus Kebangkitan Dunia

Sumber: Utusan Malaysia

FT Image: Puqtra Hairry (Utusan) / Kosmo!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×