Euforia Bola 2026
Famili

Ibu Tunggal Kahwin Lelaki OKU 23 Tahun Lebih Muda, “Dia Pandai Jaga Hati & Matang…”

jarak usia

Elya Sudirman, 51, tidak menjadikan perkahwinan yang berakhir selepas 27 tahun dan jarak usia, sebagai alasan untuk menutup pintu hatinya. Dia kini mendirikan rumah tangga dengan lelaki 23 tahun lebih muda daripadanya yang juga merupakan individu kelainan upaya (OKU).

Elya memilih untuk berkahwin dengan Mohamad Aizat Aiman Halim, 28, mengalami masalah penglihatan pada mata kirinya akibat kecederaan ketika kecil.

Baca juga: Lelaki Tak Dikenali Selamba Pegang Paha Budak 3 Tahun, Bila Dijerkah Terus Lari Tak Cukup Tanah!

JARAK USIA 23 TAHUN BUKAN PENGHALANG UNTUK KAHWIN

JARAK USIA

Menurutnya, kejujuran Aizat yang terbuka tentang keadaannya sejak awal perkenalan, selain keserasian lelaki itu dengan keempat-empat anaknya, antara faktor yang mendorongnya membuka hati untuk kembali bergelar isteri.

Kata sepakat dicapai setelah hubungan mereka direstui kedua-dua belah keluarga, dan pasangan ini disatukan pada 12 November 2023, kurang setahun selepas berkenalan.

“Kami mula kenal di TikTok, dan sejak awal saya sudah maklum dia lebih muda daripada saya. Dia juga tidak menyembunyikan keadaannya yang buta sebelah mata akibat insiden tercucuk besi ketika berusia 11 tahun.

“Bagi saya, perkara itu bukan satu masalah. Saya pun tidak menolak untuk berkahwin semula. Lagipun, tiga daripada empat anak saya sudah pun berkahwin, jadi saya rasa sudah sampai masa untuk ada teman hidup. Ramai lelaki lain yang cuba mendekati, termasuk yang sudah beristeri tapi saya pilih dia sebab saya nampak keikhlasan dan kesungguhannya,” jelasnya

Tambah Elya, dia bersyukur kerana diterima baik oleh keluarga mentuanya, termasuk ibu mentua yang hanya dua tahun lebih tua daripadanya.

Kini, Elya turut membantu menguruskan kedai makan milik keluarga suaminya di Sik, Kedah, dan hubungannya dengan anak-anak juga tidak terganggu kerana mereka sebaya dengan Aizat.

“Suami tahu menyesuaikan diri dan pandai menjaga hati. Bila serius, dia sangat matang dan memahami. Alhamdulillah, kami serasi dan saling bertolak ansur. Dia juga banyak bantu saya dalam kerja rumah.

“Ada yang persoalkan kenapa saya pilih dia, memandangkan usianya lebih muda dan fizikalnya berbeza. Ada yang kata saya boleh dapat lelaki lebih ‘sempurna’. Kadang-kadang terasa juga, tapi bagi saya tiada siapa pun yang sempurna. Setiap orang ada kekurangan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Aizat Aiman menyatakan bahawa penerimaan Elya terhadap kekurangannya menyentuh hatinya dan menguatkan keinginannya untuk menjadikan wanita itu sebagai isterinya.

“Sebelum kenal isteri, saya pernah berkawan dengan beberapa wanita, tapi bila mereka tahu saya OKU, ramai yang mula menjauh.

“Saya faham keadaan saya, jadi bila isteri ikhlas terima saya seadanya dan sanggup datang jumpa keluarga sebelum kahwin, saya tahu dia benar-benar serius.Itulah yang buat saya yakin untuk pilih dia dan tak pandang orang lain,” ujarnya.

Baca juga: Pelajar Tingkatan 3 Jatuh Dari Asrama, Polis Panggil Kakitangan Sekolah Bantu Siasatan

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×