Sebuah video tular memaparkan detik cemas apabila sebuah bas sekolah dibaling batu di tepi jalan berhampiran Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson.
Lebih merisaukan adalah, bas sekolah itu membawa rombongan murid Tahun Enam untuk ke Kuala Lumpur lantas menyaksikan perbuatan orang ramai tersebut.
TULAR VIDEO BAS SEKOLAH DIBALING BATU SEBAB BUNYIKAN HON, JALAN SEMPIT

Dalam video berdurasi 39 saat itu, kelihatan beberapa lelaki menjerit ke arah pemandu bas. Namun, percakapan mereka kurang jelas disebabkan suasana kecoh ketika kejadian.
Menurut keterangan pada video tersebut, insiden bermula selepas orang awam bertindak membaling batu ke arah bas yang membunyikan hon kerana terdapat kenderaan diparkir sesuka hati di tepi jalan. Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan laluan menjadi sempit, malah ada murid yang dilaporkan menangis ketakutan.
Di ruangan komen, seorang wanita mendakwa anaknya berada dalam bas berkenaan yang sedang menuju ke Kuala Lumpur untuk lawatan sekolah.
“Itu bas sekolah anak saya. Mereka baru nak bergerak ke KL. Tapi kenapa orang awam parkir tepi jalan macam tu? Dah la salah sendiri, lepas tu salahkan pemandu bas pula,” katanya yang turut meluahkan rasa tidak puas hati.
Guru Cerita Kronologi Sebenar Kejadian

Seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai guru yang berada di dalam bas tampil menceritakan kronologi sebenar apa yang berlaku. Menurutnya, kejadian berlaku pada Rabu sekitar jam 8.30 pagi dan melibatkan tiga buah bas rombongan.
“Sampai di depan PUSASDA, bas terpaksa berhenti kerana berselisih dengan lori tangki minyak. Laluan memang sangat sempit,” jelasnya.
Namun keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat empat kereta diparkir bertindih, selain bahu jalan di kiri dan kanan turut dipenuhi kenderaan.
“Pemandu bas tak ada pilihan, terpaksa hon agak lama supaya pemilik kereta sedar. Tapi tiba-tiba ada beberapa orang awam marah dan mula memaki hamun pemandu bas,” tambahnya.
Menurutnya lagi, provokasi itu kemudian disambut oleh beberapa individu lain sehingga tercetus kekecohan, termasuk tindakan membaling batu seperti dalam video yang tular. Ada juga beberapa orang awam lain yang turut memaki dan menunjukkan isyarat-isyarat lucah ke arah pemandu bas dan ke arah murid-murid yang berada di dalam bas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin memaklumkan bahawa tiada laporan polis diterima berhubung kejadian berkenaan setakat ini. Kasihan anak-anak yang berada di dalam bas menyaksikan tindakan orang dewasa sebegini, tanpa berfikir panjang…
@abeydolklatey4Ada kanak2 yang menangis ketakutan. Kereta park penuh di tepi jalan kerana sedang berlangsung hari lapor diri askar di PUSASDA.♬ bunyi asal – AbeyDol klatey
Baca juga: Tersergam Indah Bak Istana, Ini 5 Rumah Pemimpin Malaysia Yang Mewah & Cantik!
Sumber: Tiktok @abeydolklatey4, Sinar Harian
