Seorang murid lelaki Tahun Satu maut selepas dipercayai dilanggar bas sekolah dalam kejadian di Taman Sri Lalang, Kluang, petang semalam.
Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 4.20 petang itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Baca juga: Bakal Pengantin Kritikal Selepas Guna Ubat Kurus Viral ‘Reta’, Hati Bengkak & Usus Bocor!
DILANGGAR BAS SEKOLAH, MURID TAHUN 1 MAUT

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati bas sekolah jenis Hino yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 36 tahun sebelum itu berhenti bagi menurunkan mangsa di Jalan Bunga Raya.
Menurutnya, selepas murid berkenaan turun dari bas, pemandu terbabit dipercayai membelok ke Jalan Bunga Raya 3 sebelum melanggar mangsa yang berada di sebelah kiri jalan.
“Akibat pelanggaran, mangsa terjatuh dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia,” jelasnya.

Kredit gambar: Malaysia Gazette
Beliau berkata, pemandu bas berkenaan turut mengalami trauma sehingga pengsan sejurus selepas kemalangan berlaku.
“Pemandu bas masih dirawat di hospital dan ujian saringan air kencing akan dijalankan sebaik dia keluar dari hospital. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bagi membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro
