Satu perkongsian di TikTok oleh pengguna dikenali sebagai Neny tular baru-baru ini apabila dia menceritakan detik cemas ketika suaminya hampir mengalami serangan jantung akibat pengambilan vape dan minuman tenaga.
Menurut Neny, kejadian bermula selepas waktu Maghrib apabila suaminya mengadu sakit dada. Rupa-rupanya, si suami sudah tidak selesa sejak di tempat kerja tanpa memaklumkan kepada sesiapa.
Baca juga: Bahan Kimia Dalam Pewarna & Pelurus Rambut Tingkatkan Risiko Kanser Payudara Sehingga 60%
MINUMAN TENAGA PUNCA SUAMI HAMPIR DISERANG SAKIT JANTUNG

Tujuan penulisan ini adalah nak memberi sedikit peringatan buat anda yang membaca agar menyayangi diri serta ingatlah keluarga tersayang.
“Suami saya lepas Maghrib mengadu sakit dada, (sebenarnya dia sakit dari tempat kerja lagi tapi tidak diberitahu) jadi saya ajak ke klinik tapi masa itu dia taknak, katanya masih ok. Lepas isyak masih sakit, bilik dah kuat dengan bau minyak angin. Lepas pujuk barulah nak ke klinik,” jelasnya.
Di klinik, selepas pemeriksaan awal, doktor memutuskan untuk melakukan ujian ECG (elektrokardiogram). Hasil ujian itu menunjukkan bacaan tidak normal, menyebabkan doktor segera mengambil darah untuk ujian Trop T bagi mengesan tanda-tanda serangan jantung.
Walaupun keputusan Trop T menunjukkan tiada tanda bahaya, doktor tetap menasihatkan agar suaminya dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Namun, suaminya memilih untuk pulang kerana berasa keadaan semakin pulih.
“Esoknya kami pergi kerja macam biasa. Tapi saya bawa keputusan ECG tu tunjuk pada pakar di hospital tempat saya kerja. Bila pakar tengok, dia terus suruh segera ke Jabatan Kecemasan sebab keadaan tu boleh jadi lebih teruk bila-bila masa,” katanya.
Susulan itu, suaminya dimasukkan ke wad dan menjalani imbasan CT Coronary bagi memeriksa saluran darah ke jantung. Sekiranya terdapat penyumbatan, prosedur angiogram akan dijalankan serta-merta.

Namun, keputusan imbasan menunjukkan semuanya dalam keadaan normal. Hasil semakan pakar mendapati, perubahan pada bacaan ECG dan simptom yang dialami berpunca daripada pengambilan vape dan minuman tenaga berlebihan.
“Pakar beritahu, kombinasi vape dan minuman tenaga boleh menyebabkan gangguan degupan jantung serta risiko serangan jantung mengejut, walaupun pada usia muda,” jelas Neny.
Sebagai peringatan, dia menasihati orang ramai, khususnya golongan lelaki agar menghentikan tabiat tersebut demi kesihatan dan keluarga tersayang.
“Kalau sayang diri, sayang isteri dan anak-anak, tolonglah berhenti. Minuman tenaga tu yang berperisa mangga, anggur dan terbaru oren dalam bentuk serbuk bancuhan, semuanya bahaya,” tulisnya lagi.
Kisah ini menjadi peringatan penting bahawa kesihatan jantung bukan hanya isu warga emas, tetapi juga boleh mengancam golongan muda akibat gaya hidup dan tabiat yang tidak sihat.
Baca juga: Ibu Terapkan Gentle Parenting Didik Anak Autistik, Dari Speech Delay Terus Fasih British!
Sumber: TikTok
