Sebuah lori simen dipandu seorang lelaki dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh beberapa buah kenderaan dan tiang lampu dalam satu kejadian tragis di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kubang Kerian, semalam. Insiden itu berlaku selepas pemandu lori berkenaan dipercayai mengalami serangan jantung ketika sedang memandu.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 1 petang Rabu itu turut sempat dirakam oleh pengguna jalan raya lain sebelum video berkenaan tular di media sosial.
Baca juga: Bertemu Jodoh Selepas 40 Tahun Terpisah, Wanita Dilamar Di Tempat Pertemuan Semula Nabi Adam & Hawa!

Gambar JBPM: Antara kenderaan yang dilanggar oleh lori pembancuh simen dalam kejadian di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kubang Kerian, Kota Bharu pada Rabu.
Saksi kejadian, Afisah Ibrahim, berkata semasa insiden berlaku dia bersama dua anak lelakinya yang berusia empat dan tujuh tahun baru berhenti di sebuah kedai untuk membeli pulut ayam.
“Saya baru lepas ambil anak Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1. Kebetulan saya parkir kereta berhampiran dengan lori itu dan sempat melihat kepala pemandu seperti berada dalam keadaan telangkup di stereng,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, sejurus selepas itu orang ramai menjerit apabila lori berkenaan tiba-tiba bergerak dan melanggar beberapa buah kereta serta tiang lampu.
“Saya ketika itu panik kerana lori tersebut hampir hendak merempuh kereta dan dua anak ada di dalamnya.
“Alhamdulillah kereta saya tidak terkena, walaupun sudah hampir dekat. Saya terus menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian itu kerana bimbang lokasi berkenaan berhampiran kawasan sekolah dan ketika itu waktu pelajar pulang,” katanya.
Lelaki yang memandu lori tersebut kemudian dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan bukannya akibat kemalangan maut. Siasatan selanjutnya sedang dijalankan,” katanya.
Insiden itu menimbulkan kebimbangan orang awam memandangkan lokasi kejadian berhampiran sekolah dan berlaku ketika waktu puncak pelajar pulang, namun tiada kecederaan lain dilaporkan.
@nixmartt Heart attack mungkin..
Baca juga: Anak 11 Tahun Dipukul Dengan ‘Hanger’ Hingga Cedera Sebab Tak Cuci Pinggan, Bapa Didenda RM8,000!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: JBPM
