Sepasang suami isteri ditahan pihak polis selepas disyaki dera anak angkat lelaki mereka yang berusia sembilan tahun dengan mencucuh menggunakan pemetik api dan merendam tangan mangsa ke dalam air panas hanya kerana kehilangan pensil warna.
Menurut sumber, kejadian itu terbongkar pada 30 Oktober lalu apabila abang kepada suspek lelaki berkunjung ke rumah pasangan berkenaan di Batu Berendam dan menyedari terdapat kesan melecur pada jari kanan serta parut lama di kaki kanak-kanak tersebut.
Baca juga: Jam 9.19PM Ini Langit Malaysia Diterangi Supermoon Terbesar & Hujan Meteor Taurid Selatan
SUAMI ISTERI DERA ANAK ANGKAT, RENDAM TANGAN DALAM AIR PANAS

“Suspek wanita memberitahu isteri pengadu bahawa dia menyiram tangan anak angkatnya dengan air panas kerana marah selepas kanak-kanak itu kehilangan pensil warna di sekolah. Suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori pula pernah mencucuh kaki mangsa menggunakan pemetik api,” jelas sumber.
Difahamkan, wanita berkenaan kemudian memaklumkan kejadian itu kepada suaminya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Keesokan harinya, abang suspek bersama bapanya datang semula ke rumah pasangan tersebut dengan alasan mahu membawa kanak-kanak itu keluar berjalan. Pasangan itu bersetuju dengan syarat anak angkat mereka dihantar pulang selepas itu.
“Semasa berada di rumah bapa pengadu, mangsa mengadu sering dipukul dan mendedahkan bahawa jarinya pernah direndam dalam air panas hingga melecur serta dicucuh dengan pemetik api pada Ogos lalu,” katanya lagi.

Tidak berpuas hati dengan pengakuan tersebut, pengadu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam pada 2 November.
Berikutan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka telah menahan pasangan berkenaan tengah hari semalam.
Kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Perintah reman berkuat kuasa mulai hari ini hingga 10 November dan dikeluarkan oleh Majistret Uthman Abd Ghani di Mahkamah Majistret Melaka.
Baca juga: Rumah Kekal Wangi & Tak Bau Hapak, Potong Daun Pandan Macam Ini Baru Semerbak!
Sumber: Sinar Harian
