Nama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi mengharumkan negara apabila tersenarai dalam kelompok 10 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia bagi tahun 2026!
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) yang berpangkalan di Jordan melalui penerbitan tahunan mereka, The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims 2026.
Baca juga: Dulu vs Kini, 9 Sultan Paling Kacak Sewaktu Muda… Ada Pernah Jadi Raja Paling Tampan Asia Tenggara!
PMX ANWAR IBRAHIM MASUK SENARAI TOP 10 TOKOH ISLAM BERPENGARUH DUNIA, NAIK 5 TANGGA

Dalam laporan edisi 2026 itu, Anwar menduduki tempat ke-10, naik lima anak tangga berbanding kedudukan ke-15 pada tahun sebelumnya. Kenaikan ini dikaitkan dengan peranan penting beliau sebagai pemimpin kerajaan perpaduan, serta suara tegasnya dalam mempertahankan isu kemanusiaan dan keadilan sejagat di pentas antarabangsa.
RISSC menyifatkan perjalanan politik Anwar sebagai ‘kisah kebangkitan yang dramatik dalam politik Malaysia’, menggambarkan liku perjuangan beliau dari fasa pemenjaraan, pengasingan politik, hingga akhirnya diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November 2022.
Laporan itu turut memuji kemampuan Anwar menyatukan pelbagai parti politik menerusi kerajaan perpaduan, yang menjadi tonggak kestabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Langkah ini dilihat sebagai kejayaan besar dalam memulihkan kepercayaan rakyat dan mewujudkan kesepaduan nasional selepas tempoh politik yang tidak menentu.
Di peringkat antarabangsa, RISSC menyanjung peranan aktif Malaysia di bawah kepimpinan Anwar dalam memperkukuh hubungan serantau dan menjadi pengantara keamanan di ASEAN.
“Anwar memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja selepas beberapa hari pertempuran di sempadan, menjadikan Malaysia suara yang disegani dalam diplomasi serantau,” tulis laporan itu.
Pendukung Tegas Perjuangan Palestin

Selain politik, laporan berkenaan turut menyorot sumbangan besar Anwar dalam bidang pemikiran Islam dan pendidikan.
Antaranya, beliau merupakan pengasas bersama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) yang berpangkalan di Amerika Syarikat sejak tahun 1981, dan pernah berkhidmat sebagai Canselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1983 hingga 1988.
Dalam isu Palestin, Anwar terus dikenali sebagai suara lantang dunia Islam menentang kekejaman rejim Zion*s. RISSC menegaskan bahawa beliau konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin dan tidak gentar menegur ketidakadilan global termasuk mengkritik tindakan Meta kerana menurunkan hantaran berkaitan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
“Beliau melihat tindakan itu sebagai bentuk penindasan dan sikap pengecut terhadap perjuangan rakyat Palestin,” kata laporan tersebut.
Turut tersenarai dalam kelompok teratas bagi edisi 2026 ialah:
- Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani (Emir Qatar)
- Sheikh Muhammad Taqi Usmani (Pakistan)
- Sheikh Al-Habib Umar bin Hafiz (Yaman)
Sejak diperkenalkan pada tahun 2009, The Muslim 500 diterbitkan setiap tahun bagi mengiktiraf 500 individu Islam paling berpengaruh di dunia merangkumi bidang kepimpinan, keagamaan, pendidikan, ekonomi, dan kemanusiaan. TAHNIAH!
Sumber: FB Anwar Ibrahim, Berita RTM
