Setiap anak mempunyai minat dan bakat tersendiri yang membentuk arah pembelajaran mereka seperti bidang seni, muzik, atau sukan. Namun, bagi anak kembar kepada angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, minat itu agak luar biasa.
Baru berusia 8 tahun, Sheikh Adam sudah menunjukkan kecenderungan mendalam terhadap subjek matematik, khususnya algebra, merupakan topik yang biasanya menjadi ‘mimpi ngeri’ bagi ramai pelajar sekolah menengah!
Anak Angkasawan Negara Datuk Dr. Sheikh Muszaphar, Adam ‘Obses’ Algebra, Trigonometri dan Pemfaktoran

Menerusi perkongsian video di Threads baru-baru ini, Dr. Sheikh Muszaphar berkongsi tentang minat anaknya yang gemar meneroka ilmu secara sendiri.
“Ini Adam, penggemar algebra. Banyak kali menggeledah bilik Bella (kakak) mencari buku matematik algebra, trigonometri, bulatan dan pemfaktoran. Dia belajar sendiri dan sentiasa ingin tahu. Jika perlukan bantuan, baru dia datang tanya saya. Alhamdulillah,” tulisnya.
Malah, bakat dan kesungguhan Adam bukan biasa-biasa. Pada awal Oktober lalu, si cilik ini berjaya membawa pulang pingat perak dalam Pertandingan Matematik Olympiad (OMC) di peringkat antarabangsa.
Selain cemerlang dalam akademik, Adam juga pernah menerima Anugerah Ikon Murid Cemerlang dan Tulisan Tercantik 2024, serta sudah mampu menulis tulisan kursif sejak usia enam tahun. Hebat!
Algebra, Asas Ilmu Moden Dunia

Ramai mungkin menganggap algebra sekadar sebahagian kecil dalam sukatan pelajaran matematik, tetapi sebenarnya ia merupakan asas kepada hampir semua cabang ilmu moden.
Daripada bidang sains, kejuruteraan, teknologi kecerdasan buatan (AI), sistem satelit hingga komputer, semuanya berpaksikan prinsip algebra dan membolehkan manusia memahami, mengira dan membina model fenomena alam dengan lebih tepat.
Menariknya, perkataan “algebra” berasal daripada karya agung ilmuwan Islam Al-Khwarizmi bertajuk Al-Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal-Muqabala, yang ditulis sekitar abad ke-9.
Jadi, kisah Adam menjadi bukti bahawa minat belajar boleh dipupuk sejak kecil, bukan semata-mata dengan paksaan, tetapi melalui dorongan dan rasa ingin tahu. Siapa tahu, mungkin minat mendalam terhadap algebra hari ini bakal melahirkan seorang lagi cendekiawan atau saintis masa depan Malaysia?
View this post on Instagram
Baca juga: “Tingginya Bella!”- Datuk Dr.Sheikh Muszaphar Kongsi Ukur Ketinggian Anak, Macam Model!
Sumber: Threads
