Di sebalik kemanisan cinta dan sinar glamor dunia hiburan, tersimpan kisah gelap yang penuh racun dan manipulasi. Itulah nadi utama Tonton Original Series: Toksik Cinta.
Ini merupakan sebuah naskhah terbaharu arahan Pali Yahya dengan skrip tulisan Erma Fatima yang bakal menggegarkan emosi penonton bermula 27 Oktober 2025, eksklusif di Tonton.
30 EPISOD TOKSIK CINTA BAKAL SINGKAP SISI ‘GELAP’ CINTA DAN OBSESI

Drama bersiri 30 episod ini bukan sekadar kisah cinta biasa, tetapi sebuah perjalanan emosi yang sarat dengan konflik, permainan psikologi dan realiti kehidupan moden yang semakin rumit. Ia menyingkap sisi gelap cinta tentang bagaimana keinginan untuk memiliki seseorang boleh berubah menjadi obsesi yang menghancurkan.
Selepas kejayaan Keluarga Itu, Erma Fatima kembali dengan karya yang lebih berani dan mendalam, memperlihatkan evolusi dirinya sebagai penulis dan penerbit. Dengan sentuhan sinematik yang dramatik serta dialog yang menusuk jiwa, Toksik Cinta membawa penonton menyelami sempadan antara cinta dan kebinasaan.
Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Riena Diana, Aqasha, Keith Foo, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam, drama ini menjanjikan lakonan yang penuh intensiti dan realisme.
Kisah bermula dengan Alfi (Aqasha), seorang pengarah filem terkenal, yang terpikat dengan pesona Karmila (Riena Diana), seorang pempengaruh dan pelakon muda yang sedang meningkat naik. Cinta mereka kelihatan sempurna sehingga mereka disatukan sebagai suami isteri. Namun, kebahagiaan itu tidak lama apabila Karmila memfailkan penceraian, mendakwa dirinya menjadi mangsa penderaan.
Dengan bantuan peguamnya, Amsyar (Keith Foo), Karmila membawa kes itu ke mahkamah, membuka satu demi satu rahsia gelap yang membelit hubungan mereka. Adakah Alfi benar-benar bersalah, atau adakah Karmila sekadar mangsa kepada persepsi dan permainan emosi?
Riena Diana mengakui watak Karmila memberi cabaran besar

Bercerita mengenai watak yang dibawa, Riena mengakui memang ini adalah salah satu cabaran terbesar buat dirinya,
“Saya cuba betul-betul memahami luka Karmila. Dia bukan sekadar wanita keliru, tapi seseorang yang pernah dikhianati dan teraniaya. Latar hidupnya yang berantakan membentuk dinding keras di luar, tapi jiwanya sebenarnya rapuh. Toksik Cinta bagi saya kisah tentang bagaimana cinta dan trauma silam membentuk cara seseorang melihat dunia,” katanya.
Lebih daripada sekadar drama cinta, Toksik Cinta mencerminkan realiti sosial yang sering tersembunyi iaitu tentang ego, dendam dan keinginan untuk menguasai yang perlahan-lahan meracun jiwa. Ia mengajak penonton berfikir semula: dalam hubungan yang retak, siapakah sebenarnya mangsa dan siapakah pemangsa?
Sebagai pelengkap pengalaman menonton, Tonton turut menawarkan promosi istimewa kepada pelanggan. Langgan TontonUp selama tiga bulan dan nikmati ganjaran menerusi Tonton Rewards! Penonton berpeluang menebus baucar diskaun Pizza Hut bernilai RM20 serta baucar Baskin-Robbins bernilai RM10 sambil terus menikmati pelbagai drama, filem dan rancangan eksklusif di platform Tonton.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Tonton Original Series: Toksik Cinta, bermula 27 Oktober 2025, hanya di Tonton. Untuk berita terkini dan kemas kini menarik, ikuti @tontonmy di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram.
