Bermula 14 Februari 2026, Namamu Cinta hadir sebagai naskhah komedi romantik terbaharu yang bakal mencuri perhatian penonton, menggabungkan elemen cinta, konflik dan pencarian makna hidup dalam 10 episod eksklusif di Tonton.
Drama terbitan Red Communications ini diarahkan oleh Khairi Anwar dengan skrip hasil nukilan Anwar Hadi dan Baizura Kahar. Lebih menarik, siri ini menyatukan buat pertama kali gandingan utama Zara Zya dan Jazmy Juma sebagai teraju utama.
Baca juga: Bukan Semua Yang Berjubah Itu Baik? Ikuti Sisi Gelap ‘Di Sebalik Jubah’ Eksklusif Hanya Di Tonton!
PERTEMUAN TAK DISANGKA! ZARA ZYA ‘KACAU’ JAZMY JUMA DI NAMAMU CINTA

Turut membarisi pelakon ialah Shahz Jaszle, Syad Mutalib, Sobri Anuar serta Nor Albaniah yang memperkukuh jalan cerita dengan karakter masing-masing.
Kisah wanita perfeksionis bertemu jejaka sederhana
Siri ini mengangkat kisah Nuna lakonan Zara Zya, seorang usahawan fesyen berjaya yang berdisiplin tinggi dan obses untuk menang dalam setiap aspek kehidupan. Namun, tekanan hidup serta konflik rumah tangga membawa kepada perceraian dengan Hisham (Shahz Jaszle), sekali gus meruntuhkan dunia yang selama ini dibinanya.
Bagi menyembuhkan luka, Nuna memilih pulang ke Kampung Bagan Lalang bersama bapanya. Di situlah dia bertemu Aslan (Jazmy Juma), seorang pembuat batik muda yang berbakat dan memilih kehidupan sederhana.
Pertembungan dua dunia — ambisi bandar dan ketenangan kampung — melahirkan hubungan yang unik, dipenuhi salah faham, detik mencuit hati dan emosi yang perlahan-lahan berkembang.
Konflik semakin memuncak apabila Anis (Syad Mutalib), sahabat yang menyimpan perasaan terhadap Aslan, mula berasa tergugat dengan kehadiran Nuna. Dalam masa sama, Hisham muncul kembali untuk meraih simpati dan menuntut tempat dalam hidup bekas isterinya.
Baca juga: Bila Ambisi & Kuasa Bertemu, ‘Santau Perempuan Terlarang’ Jadi Kenyataan Hanya Di Tonton!
Gandingan pertama yang dinanti penonton
Mengulas mengenai wataknya Zara Zya berkongsi,
“Nuna ini memang ‘perfectionist’, sampaikan bila dia masuk ke dunia Aslan pun dia masih terbawa-bawa perangai usahawan dia itu. Seronok berlakon dengan Jazmy kerana beliau sangat tenang dalam set, jadi pertembungan antara watak kami yang ‘kalut’ dengan yang ‘relaks’ itu nampak sangat natural dan ada masanya agak melucukan.”
Jazmy Juma pula menambah,
“Aslan ini jenis yang ikut rentak sendiri sahaja, jadi bila kena hadap Nuna yang semuanya nak kena cepat dan menang, memang mencabar kesabaran dia juga. Tapi itulah yang membuatkan hubungan mereka unik. Bekerja dengan Zara sangat mudah sebab kami selalu berkongsi idea untuk pastikan ‘vibe’ antara usahawan bandar dan pemuda kampung ini sampai kepada penonton.”
Diperkaya dengan keindahan seni batik serta latar desa yang mendamaikan, Namamu Cinta bukan sekadar kisah percintaan biasa, tetapi refleksi tentang mencari bahagia di tempat yang tidak dijangka.
Siri ini akan disiarkan secara eksklusif setiap Sabtu dan Ahad bermula 14 Februari 2026 di Tonton.
Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.
Lihat siaran ini di Instagram
