Setiap kali wajah si kecil Tengku Muhammad Johan Petra terpampang di media sosial, pasti ramai yang tersenyum. Mana tidaknya, kecomelan putera kesayangan kepada Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra ini sering mencuri tumpuan warga maya.
Kini, di usia yang baru mencecah dua tahun, si cilik berdarah diraja ini sudah melangkah ke fasa baru kehidupannya iaitu dunia prasekolah!
Baca juga: Putera Cilik Kelantan Kacukan Sweden Jadi Perhatian, Kecomelan Tengku Muhammad Johan Petra Dipuji!
Tengku Muhammad Johan Petra Masuk Prasekolah Montessori & Belajar Tiga Bahasa Sekaligus

Foto terbaharu ke sekolah.
Menerusi perkongsian di laman Instagram, Che Puan Sofie berkongsi detik manis hari pertama anakandanya ke prasekolah. Dalam gambar yang dikongsikan, kelihatan baginda berjalan berpimpinan tangan bersama si kecil yang menjadi momen cukup menyentuh hati dan mencetuskan rasa bangga dalam kalangan rakyat.
“Hari pertama Johan di prasekolah. Di sana mereka menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Kami juga bernasib baik kerana terdapat sekolah Sweden di Malaysia,” tulis Che Puan Sofie dengan penuh kasih sayang.
Menariknya, pada usia semuda itu, Tengku Johan Petra sudahpun terdedah kepada tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Sweden! Ramai yang memuji langkah bijak pasangan diraja ini dalam memberi pendedahan awal kepada anak mereka dalam persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan seimbang.
Menurut perkongsian Che Puan Sofie, mereka memilih pendekatan Montessori sebagai asas pendidikan awal anakanda. Kaedah ini memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk belajar mengikut minat, meneroka dunia di sekeliling mereka dan mengasah kemahiran secara semula jadi, bukan sekadar mengikut arahan atau menghafal.
Pakar pendidikan juga berpandangan bahawa sistem Montessori membantu membentuk kanak-kanak yang lebih yakin, berdikari dan sentiasa bersemangat untuk belajar sepanjang hayat. Tidak hairanlah mengapa pendekatan ini menjadi pilihan ramai ibu bapa moden, termasuk pasangan diraja Kelantan ini.
Warganet Komen “So Cute”, Doakan Si Cilik Diraja Fasih Tiga Bahasa

Hantaran Che Puan Sofie pantas meraih perhatian warganet. Ruangan komen dibanjiri dengan ucapan manis dan doa agar Tengku Muhammad Johan Petra terus membesar dengan sihat, cerdas dan berakhlak mulia. Ramai turut meluahkan rasa kagum melihat kecomelan serta kepetahan si kecil dalam pelbagai bahasa.
Untuk rekod, Tengku Muhammad Johan Petra dilahirkan pada 17 Julai 2023 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan. Baginda merupakan putera kepada Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, adinda kepada Sultan Kelantan, dan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra yang berasal dari Sweden. Pasangan diraja ini disatukan dalam sebuah majlis penuh adat dan kasih pada 19 April 2019, selepas pertunangan mereka pada 14 Februari 2018.
Baca penuh: 10 Kerabat Diraja Yang Kahwin Dengan Rakyat Biasa, Demi Cinta Lautan Api Sanggup Diredahi!
Sumber: Instagram @ljo_
