Euforia Bola 2026
Inspirasi

Kenang Arwah Ibu Bapa Kerja Tukang Masak & Jahit, Alis Pilih Jurusan Ekonomi Rumah Tangga!

jurusan ERT

Kenangan Nik Mohamad Alis Nik Ab Rashid terhadap arwah ibu dan ayah yang bekerja sebagai tukang jahit dan tukang masak menjadi pendorong utama beliau memilih jurusan ERT (Ekonomi Rumah Tangga) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Nik Mohamad Alis, 20 tahun, menduduki STPM tahun lalu dan menjadi yatim piatu sejak usia 17 tahun. Ayahnya, Nik Ab Rashid Nik Jusoh, meninggal dunia pada 2021 akibat jangkitan kuman, manakala ibunya, Nik Jah Yusoff, meninggal setahun kemudian kerana komplikasi kencing manis dan strok.

Baca juga: Pelajar Miskin PPR Tunai Janji Kepada Bapa 6 Tahun Lalu, Kini Bergelar Doktor & Pelajar Terbaik Kuliah Perubatan

jurusan ERT

Gambar BERNAMA: Nik Mohamad Alis Ab Rashid 20, ketika mengikuti sesi orientasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu.

Sejak kehilangan ibu bapa, Nik Mohamad Alis memilih untuk berdikari dengan menyewa sebuah rumah kecil berhampiran Kota Bharu, Kelantan. Beliau juga bekerja sebagai jurulatih silat persatuan dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.

“Saya pegang pesanan mak untuk menjaga solat sebab ALLAH sahaja tempat kita bergantung dan meminta selain sentiasa berbuat baik dengan orang serta jangan berkira kerana kita tidak tahu kebaikan mana diterima ALLAH. Mungkin ada satu kebaikan itu membawa saya sampai ke sini,” katanya.

Nik Mohamad Alis merupakan antara 4,063 pelajar baharu yang mendaftar di UPSI. Kisahnya menjadi tular di TikTok, sekali gus menarik perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang tampil memberikan bantuan bagi meringankan beban pengajiannya.

Bagi Nik Mohamad Alis, pemilihan dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Rumah Tangga bukan sekadar keputusan akademik. Ia juga penghargaan kepada pengorbanan arwah ibu bapa yang membesarkannya melalui pekerjaan masing-masing.

Selain itu, cita-citanya untuk menjadi guru sudah terpahat sejak tingkatan satu.

Hidup bersendirian mengajar Nik Mohamad Alis untuk membina semangat sendiri. Beliau percaya bahawa kejayaan tidak seharusnya bergantung kepada orang lain.

“Saya dapat semangat ini daripada arwah mak dan ayah. Walaupun susah, mereka tetap berusaha mencari nafkah untuk membesarkan saya,” ujarnya.

Baca juga: Muhammad Hareez Anak Orang Nogori Sukarelawan Termuda Ke Gaza, Usia 25 Dah Banyak Sertai Misi Kemanusiaan

jurusan ERT

Gambar BERNAMA: Nik Mohamad Alis beramah resra dengan warga pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi) UPSI, Dr Khalizul Khalid, berkata, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pejabat Wakaf, Endowment Zakat dan Sedekah UPSI (WEZAS) telah menyediakan bantuan yuran pendaftaran dan pengajian bagi Nik Mohamad Alis.

Menurut beliau, universiti sentiasa memantau media sosial untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan supaya Seksyen Kebajikan dan Perkhidmatan Pelajar (SKPP) dapat mengambil tindakan segera.

“Bantuan akan diberikan berdasarkan keperluan. Selain WEZAS dan Unit Zakat UPSI, terdapat juga program lain seperti Program Sulung di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyokong pelajar pertama keluarga B40 memasuki universiti awam,” jelas Khalizul.

Pihak universiti juga memantau perkembangan Nik Mohamad Alis sehingga tamat pengajian bagi memastikan beliau berjaya, berdikari dan berpeluang memperoleh pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian.

Baca juga: Pasukan Berkuda Muda Malaysia Kelima Terbaik Dunia Di Romania & Dinobatkan ‘The Best Team’!

Sumber: BERNAMA

FT Image:

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×