Malaysia sering menjadi tumpuan pelancong antarabangsa kerana keindahan pantainya, kepelbagaian makanan, serta keramahan masyarakatnya. Namun, siapa sangka ada perkara kecil yang jarang kita ambil peduli turut menjadi daya tarikan buat orang luar terutamanya pelancong Jepun ini.
Apa yang menarik perhatian sangat sampai rakyat Malaysia pun meninggalkan komen ‘tak rileks’?
Baca juga: Hidup Tanpa Hiburan, Ini 7 Bandar Dikatakan Paling BOSAN Di Malaysia Yang Anda Kena Tahu!
PELANCONG JEPUN TERTARIK DENGAN LORONG BELAKANG DI MALAYSIA, NAMPAK ‘ESTETIK’ KATANYA!

Baru-baru ini, seorang pelancong dari Jepun mencuri perhatian ramai apabila berkongsi di aplikasi Threads tentang pengalaman uniknya di Malaysia. Bukan mengenai Menara KL, bukan juga tentang nasi lemak yang terkenal, sebaliknya hanya tentang sebuah lorong kecil yang sering kita anggap biasa dan kotor.
“Saya sangat suka jalan seperti ini di Malaysia,” tulisnya ringkas sambil memuat naik gambar lorong belakang rumah di kawasan perumahan lama.
Bukan setakat itu, lorong pejalan kaki di sekitar bangunan kedai lama juga dianggapnya menarik dan penuh karakter tersembunyi.
Hantaran tersebut pantas tular kerana membuat ramai warga tempatan tergamam. Ruang yang selama ini dilihat sebagai kawasan sempit, kotor atau sekadar jalan pintas, rupanya mempunyai nilai estetik tersendiri di mata orang asing.
RAKYAT MALAYSIA RANCAK BERGURAU

Netizen Malaysia pula tidak ketinggalan meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen. Ada yang bergurau seakan-akan mahu ‘bertekak’ dengan orang Jepun dan ada juga yang memberi pandangan serius tentang keadaan lorong belakang di negara ini. Antara komen lucu yang mencuit hati termasuklah:
“Kalau di Jepun ada ikan koi, di Malaysia kita ada berudu,” netizen.
“Kita pun ada ‘jentik-jentik’ lah!”– netizen.
Namun, ada juga komen lebih serius yang menyentuh soal keselamatan dan kebersihan. Seorang pengguna berkongsi pengalaman bagaimana lorong belakang dahulu sering dijadikan jalan pintas, tetapi kini banyak ditutup dengan pagar kerana risiko kecurian seperti kes pecah rumah.
“Lorong ini asalnya berguna kerana setiap rumah ada pintu ke belakang, tetapi bila terbuka, ia mudah jadi laluan orang berniat jahat. Sebab itu ramai kini letak pagar untuk keselamatan,” tulis seorang netizen.
Selain itu, isu kebersihan juga menjadi perhatian. Ramai bersetuju bahawa lorong belakang di Malaysia jarang diberi perhatian sehingga kelihatan gelap, kotor, licin, malah menjadi sarang tikus.
Apa yang dianggap biasa oleh rakyat tempatan, boleh jadi sesuatu yang unik di mata orang luar. Kisah pelancong Jepun ini secara tidak langsung membuka mata kita tentang bagaimana sudut pandang berbeza mampu mengubah nilai sesuatu tempat.
Lorong yang mungkin tidak istimewa bagi kita, rupa-rupanya mampu meninggalkan pengalaman berharga buat pelancong asing yang menghayatinya dari sisi berbeza. Mungkin perbincangan sebegini mampu mengeratkan hubungan antara dua negara?
Baca juga: 10 Pilihan Terbaik Hotel Mesra Kanak-Kanak Di Malaysia Tahun 2025, ‘Confirm’ Tak Nak Balik!
Sumber: Threads
