Tanggal 2 Oktober 2025 bakal menjadi detik bersejarah buat Institusi Diraja Selangor apabila Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihannya, Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz.
Namun, di sebalik berita gembira ini, ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan wanita yang berjaya menawan hati pewaris takhta Selangor ini?
SIAPA CIK AFZAA FADINI, BAKAL SURI HATI PEWARIS TAKHTA SELANGOR INI?

Majlis akad nikah dirancang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, dengan penuh adat dan istiadat kebesaran diraja. Seterusnya, acara persandingan serta santapan diraja akan diadakan pada 22 Oktober 2025, menjadikan Oktober tahun ini cukup bermakna buat rakyat negeri Selangor.
Bermula dengan latar belakang pendidikan, Cik Afzaa Fadini bukan calang-calang wanita. Beliau merupakan alumni King’s College London yang merupakan sebuah universiti tersohor di peringkat antarabangsa.
Selepas menamatkan pengajian sarjana muda dalam Development Studies and Economics, beliau meneruskan kecemerlangan akademik di peringkat sarjana dengan memilih bidang Sustainable Cities pada tahun 2015–2016.
Bidang pengajian ini menekankan aspek pembangunan bandar yang lestari, keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, serta perancangan ruang yang mampan — sesuai dengan aspirasi dunia moden hari ini.
Perjuangan Konservasi Hutan, Dipuji Rakyat Seiras Watak Puteri Disney ‘Mulan’ & ‘Pocahontas’

Foto: Sime Darby
Selain cemerlang dalam akademik, Cik Afzaa turut dikenali dengan dedikasi beliau terhadap kelestarian alam. Sejak Oktober 2020 hingga Mac 2025, beliau berkhidmat sebagai Project Manager di Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (TRCRC).
Selama lebih empat tahun, beliau memainkan peranan penting dalam pengurusan serta perlindungan kawasan hutan di bawah program pemulihan hutan aktif di Semenanjung Malaysia. Komitmen beliau dalam usaha pemuliharaan ini membuktikan bahawa kecantikan peribadinya bukan hanya pada rupa paras, tetapi juga pada jiwa dan misinya untuk masa depan bumi yang lebih hijau.
Keanggunan, kecerdikan, dan kepedulian terhadap isu alam sekitar menjadikan Cik Afzaa Fadini sosok yang dikagumi ramai. Malah, ramai yang meninggalkan komen bahawa aura yang dibawakan oleh wanita ini begitu kuat dan manis seperti watak puteri Disney, Mulan dan Pocahontas kerana mempunyai wajah klasik.
Kehadirannya di sisi Raja Muda Selangor pastinya membawa nafas baharu kepada institusi diraja, sekaligus mencerminkan perpaduan nilai tradisi dan kemodenan. Selamat Pengantin Baharu!
Baca juga: Dulu vs Kini, 9 Sultan Paling Kacak Sewaktu Muda… Ada Pernah Jadi Raja Paling Tampan Asia Tenggara!
