Euforia Bola 2026
Famili

Ayah Meninggal Sebulan Sebelum Daftar, Pelajar Yatim Piatu Heret Bag Masuk UUM Sendirian Undang Air Mata..

anak yatim piatu

Panas terik tengah hari di Stesen Kereta Api Arau seakan tidak terasa bagi seorang remaja anak yatim piatu bernama Putera Iman Shah Shahiran, 19 tahun, yang menapak dengan langkah berat sambil memikul beg besar dan dua beg sandang di bahu.

Namun, yang lebih membakar jiwa bukanlah cuaca, tetapi rasa kosong dan sepi tanpa insan tersayang di sisi di hari pendaftaran memasuki pusat pengajian tinggi.

Baca juga: Graduan UiTM Jadi Rebutan, Universiti Ini Kekal Jadi Pilihan Majikan Dengan 92.1% Kebolehpasaran Kerja!

ANAK YATIM PIATU DAFTAR MASUK UUM SEORANG DIRI, BAPA BARU MENINGGAL SEBULAN

anak yatim piatu

Kisah yang dikongsikan menerusi laman rasmi Universiti Utara Malaysia ini meruntun hati orang ramai sebaik membacanya. Pelajar yatim piatu itu tiba di stesen itu sekitar jam 12.15 tengah hari, bersendirian untuk memulakan perjalanan baharunya sebagai mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak seperti pelajar lain yang ditemani ibu bapa dan keluarga, dia berdiri seorang diri, hanya ditemani memori wajah arwah ibu tercinta, Allahyarhamah Khatijah binti Mohd Rashid, yang meninggal dunia ketika beliau di Tingkatan 1 pada 2019.

Kesedihan itu masih belum reda apabila bulan lalu, ayahnya, Shahiran Pake Chi, 57 tahun, pula menghembuskan nafas terakhir secara mengejut dalam tidur. Pemergian ayah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu berlaku hanya beberapa minggu sebelum Putera menjejakkan kaki ke menara gading.

“Awalnya saya rasa hilang arah. Saya tak tahu nak buat apa, tak tahu siapa yang boleh saya harapkan,” luah Putera dengan suara tersekat.

Takdir Allah Mengatur Pertemuan, Dirai & Dijemput Orang

anak yatim piatu

Ketika hati semakin dirundung pilu, takdir Allah membuka jalan. Kakitangan Inasis SME Bank UUM, yang telah dimaklumkan mengenai kisahnya, setia menunggu di stesen Arau untuk menjemputnya. Usaha itu dilakukan atas arahan Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang terharu mendengar cerita Putera.

Tepat jam 12.59 tengah hari, iaitu saat akhir pendaftaran, Putera akhirnya tiba di kampus Sintok, menyertai ribuan pelajar baharu lain yang memulakan kehidupan universiti.

“Apabila ada kakitangan UUM datang menjemput, saya rasa lega. Seolah-olah ada keluarga yang menyambut saya. Terima kasih atas hospitaliti UUM,” katanya sambil mengesat air mata.

Setibanya di Inasis SME Bank, Putera yang kemas berbaju kemeja putih dan berseluar gelap dibantu mendaftar, sebelum diberi kunci bilik penginapan di Blok B.

“Walaupun panas terik di luar, bila masuk ke blok, saya terkejut sebab sejuk seperti dalam bangunan berhawa dingin. Bagi saya, bilik itu sudah lebih daripada cukup. Saya amat bersyukur,” katanya penuh kesederhanaan.

Dengan pencapaian CGPA 3.71 dari Kolej Matrikulasi, Putera kini bergelar mahasiswa Sarjana Muda Pemasaran di UUM. Walaupun kehilangan tempat bergantung, anak tunggal ini tetap memilih untuk bangkit, menjadikan ilmu sebagai bekalan masa depan. Putera adalah antara 4,549 pelajar baharu yang mendaftar di UUM tahun ini, menyertai lebih 30,000 pelajar lain di kampus tersebut. Kehadiran mereka menandakan bermulanya perjalanan penuh cabaran, harapan, dan seribu kemungkinan.

Jam 1.45 petang, Putera bersama pelajar lain menaiki bas menuju ke Dewan Muadzam Shah bagi mengikuti Minggu Suai Kenal (MSK). Ditanya mengenai persediaan kewangan, Putera berkata, dia menggunakan sedikit wang simpanan hasil bekerja selepas tamat matrikulasi serta sumbangan orang ramai yang prihatin.

Bagi Putera, perjalanan dari Arau ke Sintok bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi sebuah perjalanan jiwa daripada kehilangan menuju permulaan baharu.

*Perkembangan terbaharu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia akan menanggung yuran pengajian adik Putera sehingga habis pengajian. Alhamdulillah…

*Perkongsian UUM yang kini menjadi saksi kejayaan Putera mendapat pujian orang ramai yang turut berterima kasih dengan layanan yang dipaparkan oleh pihak universiti. Malah, ramai juga yang bertanya bagaimana hendak menyalurkan bantuan kepada pelajar ini. Semoga dipermudahkan semuannya..aamin…

Baca juga: Anak Yatim Usia 7 Tahun Didakwa Kena Lempang Oleh Bapa Budak Lain Sampai Kepala Terhantuk Dinding!

Sumber: Universiti Utara Malaysia Official

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×