Euforia Bola 2026
Famili

Perangai Tak Senonoh! Sampah Dicampak Dari Tingkat 5 PPR, Kepala Ibu Jadi Mangsa & Kereta Kotor

rumah ppr

Tular di media sosial insiden seorang wanita bersama ibunya menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab penghuni flat yang selamba membuang sampah dari tingkat atas rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat).

Kejadian yang berlaku di PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras ini dikongsikan seorang pengguna Threads yang ketika itu sedang menghantar neneknya pulang ke rumah.

Baca juga: MyKad Dah Lebih 10 Tahun & Rosak? Jangan Panik, Ini Cara Perbaharui Secara Online & ‘Confirm’ Dapat Bantuan

KEPALA IBU JADI MANGSA SAMPAH DIBUANG DARI TINGKAT ATAS RUMAH PPR!

rumah ppr

Detik yang mengundang amarah ini turut bertukar menjadi pengalaman pahit apabila ibu wanita ini tiba-tiba terkena simbahan sampah berair yang jatuh dari tingkat atas. Malah, kereta milik mereka juga terkena percikan kotoran tersebut.

“Masa tengah bersalaman dengan nenek dekat kawasan parking, tiba-tiba ada sampah berair jatuh dari atas, tepat kena kepala mak saya. Kereta pun habis terkena. Memang bengang betul. Tak senonoh langsung buang sampah macam tu,” luahnya.

Tidak berdiam diri, wanita itu segera mencari punca dan berjaya menemui plastik bungkusan dengan alamat penerima di dalam longgokan sampah tersebut.

Apabila dia menjejaki rumah berkenaan, beberapa penghuni mengakui sampah itu memang milik mereka. Namun, mereka menafikan membuangnya dari tingkat atas dan mendakwa hanya meletakkannya di tingkat lima.

“Budak rumah tu kata memang sampah mereka, tapi mereka tak tahu siapa yang buang keluar. Mujur juga budak tu turun bantu buang dan cuci kereta saya,” kongsinya lagi.

Sikap Tak Bertanggungjawab Dikecam, Kena Hukuman Berat

rumah ppr

Perkongsian tersebut telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet. Rata-rata mengecam keras tindakan penghuni flat yang sewenang-wenangnya membuang sampah dari tingkat atas hingga boleh membahayakan orang lain.

Ramai juga berkongsi pengalaman sama pernah menjadi mangsa kejadian serupa di kawasan kediaman bertingkat, malah ada yang menyifatkan isu ini sudah menjadi ‘barah’ di kawasan PPR.

Bagi membuka mata ramai, tahukah anda bahawa menurut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), individu yang membuang sampah merata-rata boleh dikenakan denda maksimum RM2,000?

Lebih tegas, pindaan akta itu turut membolehkan pesalah dikenakan perintah khidmat masyarakat selama 12 jam, antaranya mengutip sampah, membersihkan longkang dan mencuci tandas. Hukuman ini juga terpakai kepada warga asing dan pelancong yang didapati bersalah.

Kejadian membuang objek dari tingkat atas flat bukan isu baharu. Pada tahun 2018, seorang remaja maut selepas ditimpa kerusi yang dicampak dari tingkat atas PPR Seri Pantai, Pantai Dalam. Insiden tragis itu pernah menggemparkan negara dan menjadi peringatan betapa seriusnya bahaya perbuatan ini.

Jadi, sedarlah bahawa kesedaran sivik amat penting, khususnya bagi penghuni kediaman bertingkat seperti PPR. Membuang sampah dari tingkat atas bukan sahaja mencemar persekitaran, malah boleh meragut nyawa!

Baca juga: Sistem MyKasih ‘Down’, Wanita Sebak Tengok Lelaki Letak Semula Susu Anak Di Rak…Tak Jadi Beli

Sumber: Threads, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×