Pada ketika ramai wanita seusianya sudah sibuk membesarkan cucu atau menikmati masa bersama anak-anak yang kian dewasa, seorang ibu membuktikan bahawa keajaiban boleh berlaku hasil dari rawatan IVF untuk kehamilan.
Bayangkan, pada usia 58 tahun, dia masih diberi peluang untuk melahirkan dan menggendong bayi kecil yang merupakan sebuah anugerah yang jarang sekali dimiliki!
Baca juga: 5 Jenis Rawatan Kesuburan Di Malaysia Ikut Bajet Paling Tinggi Hingga Harga Berpatutan
HASIL RAWATAN IVF, WANITA SELAMAT TIMANG ANAK KEDUA DI USIA 58 TAHUN!

Itulah kisah luar biasa Chan Lai-lai, isteri kepada pelakon Hong Kong terkenal Brian Wong Chak-fung, yang baru sahaja selamat menimang cahaya mata kedua melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF).
Bagi Chan Lai-lai, perjalanan menjadi seorang ibu bukanlah sesuatu yang mudah. Enam tahun lalu, dia pernah mengejutkan orang ramai apabila melahirkan anak pertamanya pada usia 52 tahun yang merupakan suatu pencapaian penuh risiko. Kini, sekali lagi dia mengulangi keajaiban itu dengan kelahiran bayi kedua perempuan yang sihat dan cukup sempurna.
Dalam perkongsian di media sosial, pasangan ini mengumumkan berita gembira tersebut sambil menzahirkan rasa syukur kerana ibu dan bayi berada dalam keadaan baik. Menurut Brian, anak perempuan kedua mereka dilahirkan pada 22 Ogos dengan berat 3.34 kilogram melalui pembedahan caesarean berjadual pada usia kandungan 37 minggu.
Menariknya, bayi ini lahir dengan berat lebih tinggi berbanding kakaknya dahulu.
BUKAN SAHAJA MAMPU MELAHIRKAN MALAH MASIH BOLEH MENYUSU

Brian sendiri tidak dapat menyembunyikan rasa kagum terhadap kekuatan isterinya. Pada usia 58 tahun, Chan Lai-lai masih mampu menjalani pembedahan, malah berupaya menyusukan anak mereka dengan penuh kasih sayang.
“Saya benar-benar terinspirasi dengan ketabahan dan keberanian isteri saya,” ujar Brian.
Kisah Chan Lai-lai bukan sekadar tentang seorang wanita yang melahirkan bayi pada usia emas, tetapi ia adalah simbol kekuatan, doa yang tidak pernah putus, dan keyakinan bahawa kasih sayang mampu mengatasi segala cabaran.
Bagi pasangan ini, kelahiran bayi kedua bukan hanya memenuhi impian lama, malah melengkapkan kehidupan mereka sebagai sebuah keluarga kecil yang kini berempat.
Mungkin, anda yang masih dalam proses berusaha mendapatkan cahaya mata boleh terinspirasi dari kisah ini?
Baca juga: “Makin Dekat Due, Makin Teruk” – Wanita Diuji Dengan Masalah Kulit Ketika Hamil, 90% Wajah Bertukar!
Sumber: IG @briancfwong, Sinar Plus
