Sistem UPUOnline kini tampil dengan wajah baharu yang lebih mesra pengguna! Naik taraf terbaru ini membolehkan pelajar yang bakal melangkah ke menara gading memilih jurusan di universiti berdasarkan peluang kebolehpasaran tinggi.
Ini sekali gus membantu mereka membuat pilihan lebih bijak untuk masa depan kerjaya yang mungkin sudah tidak sama macam dahulu.
Baca juga: Patutlah ‘Tak Laku’ Diambil Bekerja, Rupanya 38 Program Akademik Universiti Ini Dah Tak Relevan
SISTEM UPUONLINE DINAIK TARAF, BAKAL MAHASISWA BOLEH PILIH JURUSAN DI UNIVERSITI YANG ‘LAKU’

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, inisiatif ini hadir kerana pihak kementerian sedar akan cabaran graduan hari ini dalam mencari pekerjaan yang sesuai.
“Dengan sistem baharu ini, pelajar boleh lihat dengan lebih jelas kursus mana yang menawarkan prospek kerjaya yang baik. Harapan kita, mereka dapat buat pilihan yang tepat dan tidak tersalah langkah,” jelas beliau ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Bagi memastikan kursus yang ditawarkan benar-benar relevan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menubuhkan panel khas yang melibatkan pelbagai pihak termasuk TalentCorp, JPA, PERKESO, MIDA, MQA, MDEC dan beberapa badan profesional lain. Tujuannya mudah, memastikan graduan universiti awam mampu bersaing seiring dengan graduan universiti swasta.
Selain itu, Majlis Penasihat Industri-Universiti (IAP) juga terus memainkan peranan dalam menyesuaikan program akademik dengan keperluan industri semasa.
Bagi pelajar yang risau tentang isu ‘mismatch’ antara bidang pengajian dan pasaran kerja, KPT turut memperkenalkan pelbagai inisiatif menarik seperti CEO@Faculty, CEO@PolyCC, Industry on Campus (IOC), On Job Training (OJT), Industry Education Centre, Industry@University serta Structured Internship Programme (SIP).
Ringkasnya, dengan pelbagai usaha ini, peluang untuk graduan melangkah masuk ke dunia pekerjaan selepas tamat pengajian dijangka lebih cerah dan kompetitif.
5 Kursus Popular Pilihan Pelajar UPUOnline 2025

1. Perubatan & Sains Kesihatan
- Termasuklah perubatan, pergigian, farmasi, kejururawatan dan fisioterapi.
- Sentiasa jadi pilihan utama kerana bidang ini menawarkan kerjaya yang stabil dan dihormati.
2. Kejuruteraan
- Bidang kejuruteraan elektrik, mekanikal, awam dan elektronik antara yang sering mendapat permintaan tinggi.
- Graduan kejuruteraan juga mudah menyesuaikan diri dalam pelbagai industri.
3. Perakaunan & Perniagaan
- Kursus berkaitan ekonomi, pengurusan, perakaunan dan kewangan.
- Relevan dengan pasaran kerja kerana syarikat sentiasa perlukan tenaga pakar dalam pengurusan dan kewangan.
4. Teknologi Maklumat (IT & Komputer Sains)
- Selaras dengan gelombang digital, bidang ini semakin hangat termasuk data sains, AI, siber keselamatan dan pembangunan perisian.
- Antara bidang yang sangat dicari oleh industri sekarang.
5. Pendidikan
- Bidang keguruan masih kekal popular kerana peluang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.
- Ramai juga pelajar memilih kerana minat untuk menyumbang dalam dunia pendidikan.
Kursus-kursus ini biasanya mencatatkan jumlah permohonan yang sangat tinggi dalam UPUOnline sehingga persaingan untuk mendapat tempat agak sengit. Selamat berjaya!
Baca juga: 10 Bidang Pekerjaan Paling ‘Laku Keras’, Kalau Masuk Universiti Pilih Jurusan Ini Tau!
Sumber: Buletin TV3
