Malaysia mencatat sejarah gemilang apabila qari dan qariah negara dinobatkan sebagai juara tilawah al-quran dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 yang berlangsung Sabtu lalu.
Kejayaan ini sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.
Baca juga: Boleh Ke Berak Kencing Menghadap Kiblat? Tak Sangka Boleh Jadi Haram JIKA Dalam Situasi Ini!
QARI QARIAH MALAYSIA JUARA TILAWAH AL-QURAN

Gambar Bernama
Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih markah 97.01 peratus untuk muncul johan kategori qari.
Beliau mengatasi peserta Indonesia, Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus) yang berada di tempat kedua, serta wakil Turkiye, Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus) di tempat ketiga.

Gambar Bernama
Sementara itu, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mengungguli kategori qariah selepas mencatat markah 95.88 peratus.
Beliau menewaskan peserta Maghribi, Fatima Zahra Assafar (89.38 peratus) dan wakil Indonesia, Nur Rahmiyatin Adhya (87.59 peratus) untuk membawa pulang gelaran juara.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutup di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; dan Imam Masjid Nabawi, Madinah, Sheikh Dr Salah Muhammad Al-Budair.
Baca juga: Trend Tudung Labuh Nampak Dalam Makin Menjadi, Pendakwah Beri Nasihat Tak Capai Tujuan Aurat!

Gambar Bernama
Bagi kategori hafazan lelaki, juara dimenangi oleh Usamah Barghouth dari Jerman dengan markah 98.25 peratus, diikuti Mohammad Abdullah Masasati dari Syria (98.01 peratus) dan Mohammad Jamil Farhat dari India (97.25 peratus).
Dalam kategori hafazan wanita pula, peserta Syria, Tasneem Arian Omar muncul juara dengan markah 97.5 peratus, manakala Putri Auni Khadijah dari Malaysia berada di tempat kedua (96.75 peratus) dan Najway Ali Zaydan Alkourbu dari Libya di tempat ketiga (95.51 peratus).
Pemenang bagi kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000, barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Bertemakan Membangun Ummah MADANI, MTHQA ke-65 berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos, menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara, sekaligus menjadi platform memperkukuh syiar Islam dan memartabatkan al-Quran di peringkat antarabangsa.
Baca juga: Isu Usahawan Terkenal Bela Anjing Di Rumah Untuk Keselamatan, Ini Teguran Mufti & Hukumnya
Sumber: Harian Metro
FT Image: BERNAMA
