Bahaya chemsex kini menjadi isu kesihatan awam yang membimbangkan apabila fenomena penggunaan dadah untuk tujuan seksual ini dikaitkan dengan peningkatan kes jangkitan HIV.
Chemsex merujuk kepada aktiviti hubungan seks yang dilakukan bersama penggunaan dadah tertentu seperti methamphetamine (syabu), GHB atau mephedrone untuk merangsang stamina dan keseronokan. Namun, aktiviti ini sering membawa kepada seks berisiko tinggi, tanpa kawalan, dan akhirnya mendedahkan individu kepada jangkitan penyakit kelamin termasuk HIV.
Baca juga: Ini 11 Fakta Kentut Mengejutkan, Tak Nak Bau Pastikan Masa Makan Telan Angin Sekali!
BAHAYA CHEMSEX DALAM HUBUNGAN KELAMIN

Gambar hiasan Harian Metro
Presiden Rangkaian Tindakan Pengurangan Kemudaratan (HaRAN), Dr Anita Suleiman berkata, individu yang terjebak dalam aktiviti chemsex sering hilang pertimbangan akibat pengaruh dadah. Keadaan ini menyebabkan mereka gagal melindungi diri daripada jangkitan penyakit seperti HIV.
“Apabila seseorang itu di bawah pengaruh dadah, fungsi kognitifnya terjejas. Walaupun anda longgokkan kondom di depan mata dia, untuk memastikan dia mengambil dan memakainya, mungkin mustahil.
“Dadah ini menyebabkan kita hilang pertimbangan dan meletakkan diri dalam risiko jangkitan HIV. Kita hanya sedar selepas kita keluar daripada ketagihan, tetapi pada masa itu, semuanya (jangkitan) sudah berlaku,” katanya.
Menurut beliau, akibat kegagalan penggunaan kondom dalam kalangan pengamal chemsex, program pengurangan kemudaratan terakhir yang boleh ditawarkan adalah pengambilan PrEP (profilaksis pra-pendedahan) bagi mengurangkan risiko HIV.
“PrEP adalah langkah perlindungan terakhir untuk mengelakkan jangkitan HIV jika tidak mampu mengelak daripada dadah atau seks berisiko,” jelasnya.
Baca juga: Hubungan Kelamin Ternyata Terapi Kemurungan, Disaran Buat Sekali Seminggu, Tapi 2 Kali Lebih Afdal!
Chemsex juga sukar dirawat kerana tiada ubat khusus untuk menangani ketagihan bahan-bahan yang digunakan dalam aktiviti ini, berbeza dengan penagih heroin yang boleh dirawat dengan metadon.
“Yang terbaik adalah jangan ambil dadah langsung. Tapi kalau sudah ambil, kita kena bimbing mereka secara berterusan,” katanya.
Dr Anita turut menekankan bahawa ramai yang ingin keluar daripada ketagihan chemsex tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Sumber bantuan seperti pusat kaunseling juga masih terhad, menjadikan usaha untuk pulih semakin sukar.
“Ramai yang mahu keluar dari ketagihan, tetapi mereka tidak tahu bagaimana,” katanya sambil menyeru agar peranan agamawan diperkasa untuk membantu dari sudut spiritual.
Fenomena chemsex bukan sahaja memberi kesan kepada individu terlibat, malah turut menambah cabaran dalam usaha negara membendung penularan HIV dan penyakit kelamin lain. Justeru, pendekatan menyeluruh melibatkan kesihatan, psikologi dan spiritual amat diperlukan untuk menangani masalah ini.
Baca juga: AWAS! Bekerja Waktu Malam Boleh ‘Rosakkan’ Badan Secara Perlahan-Lahan Tanpa Sedar
Sumber: Harian Metro
FT Image: AI
