Euforia Bola 2026
Famili

Doa Seorang Ibu Tunggal Termakbul, Anak Autistik Berjaya Khatam Al-Quran Buat Ramai Tersentuh

anak istimewa

Di sebalik senyuman seorang ibu, tersembunyi lautan ketabahan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Begitulah kisah Suzana Ilias, seorang wanita tabah dari Bidor yang membesarkan tiga anak istimewa yang menghidap autisme, semuanya tanpa sokongan seorang suami sejak pemergiannya penghujung tahun lalu.

Pada usia 53 tahun, Suzana bukan sahaja bergelar ibu tunggal, malah menjadi guru, penjaga dan penyokong utama dalam kehidupan anak-anaknya yang memerlukan perhatian sepenuh masa.

Baca juga: “Dari Nasyid..Lahirnya Seorang Huffaz”- Anak Bongsu Syah Inteam Khatam Al-Quran Dalam 11 Bulan

DOA IBU TUNGGAL MAKBUL, ANAK ISTIMEWA BERJAYA KHATAM AL-QURAN

anak istimewa

Foto: BERNAMA

Tiga anaknya Muhammad Khir Khairul Nizam, 29 tahun, Nur Fatimah, 28 tahun dan Nurul Asyikin, 25 tahun masing-masing disahkan menghidap autisme tahap dua dan memerlukan pemantauan serta bantuan sepenuh masa dalam menjalani rutin harian.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Suzana tetap bersyukur atas pencapaian luar biasa anak sulungnya, Muhammad Khir, yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran. Ia menjadi detik membanggakan memandangkan dia sering berhadapan kesukaran untuk menumpukan perhatian secara konsisten.

“Inilah keajaiban yang Allah tunjukkan. Walaupun dia tidak dapat fokus atau memberikan respons secara spontan, Muhammad Khir mampu menguasai bacaan al-Quran dengan baik. Ini hasil didikan arwah suami yang telah membiasakan dia dengan kalam suci sejak kecil,” kata ibu.

Kini, Muhammad Khir menjadi teman setia Suzana setiap kali mereka mengaji bersama. Malah, dia juga sering menegur bacaan ibunya dan ini menjadi sesuatu yang amat dihargai oleh Suzana sebagai seorang ibu.

“Kalau kita betul-betul berusaha dan berdoa, insya-Allah anak-anak autistik juga mampu membaca Al-Quran. Keadaan mereka bukan halangan untuk kita mencari potensi sebenar mereka,” ujarnya lagi.

Selain mengaji, Muhammad Khir juga boleh membaca, mengira, menerima arahan dengan baik, dan sering membantu ibunya di dapur. Anak kedua, Nur Fatimah pula seorang yang ringan tulang, rajin melipat kain dengan caranya sendiri. Manakala si bongsu, Nurul Asyikin, ceria, aktif, dan gemar menyanyi.

Kini, keluarga itu bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suami untuk menampung kos sara hidup serta rawatan anak-anak.

“Memang pendapatan itu tidak mencukupi, tetapi saya bersyukur anak-anak tidak cerewet soal makan. Apa yang dimasak, itulah yang mereka makan,” katanya dengan nada syukur.

Menurut Suzana lagi, ketiga-tiga anaknya pernah mengikuti sesi pendidikan di Pusat Dalam Komuniti (PDK), yang banyak membantu perkembangan kendiri dan sosial mereka.

anak istimewa

Foto: BERNAMA

*Kisah perjuangannya bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga membuka mata ramai tentang kekuatan seorang ibu dalam mendepani ujian hidup yang luar biasa.

Baca juga: Tujuh Tahun Naik Bot Hantar Anak Ke Sekolah, Pengorbanan Ayah Ini Curi Perhatian Netizen & Bikin Sayu..

Sumber: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×