Dalam era media sosial yang serba canggih, pelbagai trend gaya hidup moden muncul dalam kalangan pasangan muda, termasuklah fenomena ‘honeymoon’ atau bulan madu sambil umrah di Tanah Suci Mekah. Bagi sesetengah pasangan, ia dilihat sebagai permulaan hidup berumahtangga yang diberkati iaitu menyatukan cinta dan ibadah dalam suasana suci.
Namun, persoalannya timbul mengenai niat sebenar di sebalik perjalanan ini. Adakah ia benar-benar satu bentuk taqarrub kepada Allah, atau sekadar pelancongan ibadah yang dibalut dengan kemewahan dan keghairahan berpasangan?
TREND BULAN MADU SAMBIL UMRAH MAKIN POPULAR, BUKANKAH MAHU BERIBADAH?

Foto hiasan.
Trend ini membuka ruang perbincangan antara keikhlasan dan keghairahan. Mutawif dari Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ahmad Junaidi Omar dalam laporan Sinar Harian turut memberi pendapat dan nasihat mengenai isu ini. Mari kita lihat dari beberapa sudut:
1. Dari Sudut Hukum & Syariat:
Tiada larangan dalam Islam untuk pasangan suami isteri sah menunaikan umrah bersama, walaupun baru berkahwin. Umrah adalah ibadah, jadi niat utama mestilah kerana Allah SWT. Kalau niat utama adalah melancong atau honeymoon, itu boleh mencacatkan pahala atau tujuan ibadah.
Bulan madu halal, jika dilakukan dalam batasan syariat – tiada unsur menunjuk-nunjuk, maksiat, atau kelalaian dalam ibadah.
2. Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:
– Fokus utama mestilah pada ibadah – solat, tawaf, zikir, doa, baca Quran.
– Jangan jadikan ibadah sekadar alasan untuk bulan madu mewah, bergambar atau menunjuk di media sosial.
– Di Tanah Suci, jaga adab – ini bukan tempat untuk bermesra berlebihan secara fizikal di tempat awam.
– Perancangan masa penting: Boleh ada masa untuk beribadah dan masa untuk beristirahat atau jalan-jalan, tapi ibadah mesti didahulukan.
– Ada pasangan terlalu fokus pada bergambar dan konten media sosial hingga nampak seperti “trip couple” biasa. Ini boleh menimbulkan fitnah atau riak, malah mungkin mengganggu ketenangan jemaah lain.
Kesimpulannya, boleh berbulan madu di Makkah sambil buat umrah, asalkan niat dan perlakuan betul. Kalau nak jadikan umrah sebagai titik tolak kehidupan baru yang diberkati Allah, itu sangat baik. Tapi jika lebih fokus pada bulan madu berbanding ibadah, elok fikir semula dan cari lokasi lain bersesuaian.

Yang penting untuk ingat selalu adalah Tanah Suci tempat suci. Jaga adab, jaga niat.
Sumber: Sinar Harian, Muslim.or.id
