Benarlah kata orang-orang tua, memilih pasangan hidup bukan sekadar soal rasa cinta semata-mata. Ia adalah keputusan besar yang akan menentukan arah masa depan dan kebahagiaan rumah tangga terutamanya dalam kalangan wanita yang mempunyai senarai ciri ciri lelaki idaman yang panjang!
Namun di zaman moden ini, mencari lelaki yang benar-benar layak dijadikan suami bukanlah mudah. Bukan kerana mereka tiada, tetapi kerana kita perlu tahu apa sebenarnya ciri-ciri yang patut dicari.
Baca juga: Hati-Hati Wahai Lelaki, Peguam Syarie Bongkar Tanda ‘Red Flag’ Calon Isteri Bawa Masalah!
CIRI CIRI LELAKI IDAMAN YANG WANITA SUKA UNTUK DIJADIKAN SUAMI TERBAIK!

Foto hiasan
Jadi, ini antara 21 ciri lelaki yang baik…bukan sempurna, tetapi cukup untuk menjadi suami yang disayangi, dihormati dan dikagumi. Calon pasangan ada karakter ini tak?
1. Bertanggungjawab
Seorang suami yang baik tahu dalam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri, anak-anak dan keluarga. Dia tidak lepas tangan, malah bersedia memikul amanah besar dalam rumah tangga.
2. Beriman dan berakhlak mulia
Keimanan adalah asas penting dalam membina keluarga yang diberkati. Lelaki yang berpegang pada agama akan lebih cenderung menjaga hubungan dengan Allah dan manusia.
3. Penyayang dan penyabar
Sikap penyayang menjadikan rumah tangga penuh kelembutan, manakala sifat sabar amat penting untuk mengelakkan pertelingkahan kecil menjadi besar.
4. Jujur dan amanah
Lelaki yang jujur akan menimbulkan kepercayaan dalam perhubungan. Amanah pula bermaksud dia tidak mengkhianati pasangan dalam apa jua bentuk, termasuk dari segi emosi, kewangan dan perbuatan.
5. Matang dalam berfikir
Kemampuan membuat keputusan dengan tenang dan rasional menunjukkan kematangan. Dia tidak bertindak terburu-buru, malah memikirkan akibat jangka panjang.
6. Bertolak ansur
Tidak semua perkara perlu lelaki yang ‘menang’. Lelaki yang bertolak ansur tahu bila untuk mengalah demi kebaikan hubungan.
7. Tidak kedekut
Lelaki yang tidak kedekut terutamanya untuk bersedekah adalah sangat penting bagi menjamin rezeki yang berpanjangan. Bayangkan, kalau dengan isteri pun nak kedekut contohnya dalam pemberian hadiah apatah lagi nak berkongsi rezeki dengan orang lain.
8. Rajin dan berusaha
Penting untuk mempunyai karakter lelaki yang tidak duduk goyang kaki atau bergantung pada orang lain. Dia berusaha mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga.
9. Pandai mengurus kewangan
Tidak boros, tahu menabung, dan bijak membuat perancangan kerana kestabilan kewangan adalah asas penting rumah tangga.
10. Setia
Oleh kerana banyak kes curang berlaku kebelakangan ini, sangat penting untuk mempunyai pasangan yang tidak bermain kayu tiga, tidak melayan godaan luar. Kesetiaannya kukuh walau diuji jarak, masa atau keadaan.
11. Mempunyai visi dan hala tuju hidup
Dia tahu apa yang ingin dicapai dalam hidup, dan ada perancangan jelas untuk masa depannya dan keluarga.
12. Pandai berkomunikasi
Wanita memang mudah jatuh cinta dengan lelaki yang pandai berkomunikasi dalam setiap hal. Hal ini kerana, kita boleh berbincang secara terbuka, mendengar tanpa menghukum, serta memberi sokongan emosi bila diperlukan.
13. Mempunyai ilmu pengetahuan
Lelaki yang sentiasa belajar, sama ada ilmu agama, kehidupan, atau ilmu keibubapaan, ini memantapkan dirinya sebagai ketua keluarga.
14. Pemaaf
Tidak berdendam atau menyimpan marah. Lelaki begini lebih mudah merawat luka emosi dalam hubungan terutamanya jika mempunyai isteri bersifat sensitif.
15. Bijak mendidik anak-anak
Menjadi role model dan pendidik dalam rumah sememangnya merupaka karakter idaman. Dia tidak hanya menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada isteri semata-mata.
16. Tidak panas baran
Antara ciri lelaki idaman adalah apabila dia mampu mengawal kemarahan, tidak mengherdik atau memukul. Dia tahu perbezaan antara tegas dan bertindak ganas.
17. Bersikap adil
Adil dalam memberi perhatian, kasih sayang, dan membuat keputusan tidak berat sebelah atau pilih kasih.
18. Penyokong dan pembimbing
Selalu memberi dorongan kepada isteri, membantu mencapai cita-citanya, serta menjadi tulang belakang saat isteri lemah. Barulah isteri sayang!
19. Suka membantu kerja rumah
Lelaki jangan menganggap kerja rumah tangga hanya sebagai tugas isteri semata-mata, tetapi sanggup berganding bahu.
20. Bersikap merendah diri
Walaupun berjaya atau dihormati, dia tidak sombong. Sentiasa menghargai orang lain dan bersikap sederhana.
21. Sentiasa memperbaiki diri
Lelaki ini tidak berasa cukup dengan apa yang ada. Dia sentiasa belajar dari kesilapan dan berusaha menjadi lebih baik hari demi hari.

Foto: Freepik
*Kalau ada 10 kriteria dalam senarai ini pun dah cukup baik, Alhamdulillah…yang penting hati pun sejuk.
Baca juga: Rahsia Pelukan Suami Bantu Isteri Turun Berat Badan, Cik Abang Kena Peluk Kerap Sikit – Pakar
Sumber: mysakinah
