Ejen Ali kembali dalam misi terbaharunya, dan kali ini cabarannya jauh lebih besar! Filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) mencatat detik bersejarah bagi industri animasi tempatan apabila tayangan perdananya telah berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya.
Setelah sekian lama dinanti, filem ini akhirnya tiba, menjanjikan pengalaman animasi 3D yang memukau dipenuhi dengan aksi mendebarkan, pengembaraan epik, dan naratif heroik yang sesuai dinikmati seisi keluarga.
Baca juga: Mentang-Mentang Kenal Boleh Senang Dapat, Ini 4 Rasuah Halus Yang Dalam Tak Sedar Ramai Buat!
EJEN ALI THE MOVIE 2 BAWA KANDUNGAN LEBIH MATANG, VISUAL MENGASYIKKAN

Filem ini bakal ditayangkan di seluruh negara bermula 22 Mei 2025, membawa kandungan yang lebih matang, penceritaan yang lebih mendalam serta visual yang lebih mengasyikkan. Sejak kemunculan pertamanya di TV3 pada 2016, Ejen Ali berkembang pesat menjadi harta intelek (IP) yang diiktiraf antarabangsa, menembusi lebih 65 negara.
Filem pertama yang ditayangkan pada 2019 berjaya meraih kutipan melebihi RM30 juta (USD 8 juta), sekali gus mengukuhkan kedudukan Ejen Ali sebagai perintis dalam arena animasi Malaysia. Kini, dengan teknologi baharu, watak kegemaran yang kembali, dan dunia cerita yang diperluas, sekuel ini mencetuskan gelombang keterujaan yang luar biasa dalam kalangan peminat di media sosial.
Berlatarbelakangkan kota futuristik Cyberaya, EATM2 mengisahkan perjalanan Ali, seorang remaja biasa yang secara tidak sengaja direkrut ke dalam agensi risikan rahsia, MATA. Kali ini, Ali terpilih menyertai SATRIA — sebuah program elit yang menggunakan sut canggih dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) — bagi menjayakan misi berisiko tinggi. Namun, misi ini menjadi semakin mencabar apabila Rizwan meminta bantuannya menjejak dalang sebenar di sebalik ancaman yang melanda Cyberaya.
Dalam pada itu, muncul semula Neonimus, seorang penggodam misteri yang menyimpan dendam terhadap Ali. Tujuan sebenar tindakannya masih samar, namun cukup untuk menggugat keselamatan kota. Dalam dunia penuh ancaman dan pengkhianatan, setiap keputusan Ali boleh mengubah nasib seluruh Cyberaya.
Barisan Kreatif dan Sokongan Padu Peminat

Pada majlis tayangan perdana, Pn. Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, menyatakan kebanggaannya:
“Kami amat teruja melihat Ejen Ali berkembang sehingga ke tahap ini. Francais ini membuktikan bahawa karya Malaysia mampu mencipta impak besar di pentas global, hasil daripada kreativiti dan semangat tempatan…”
Pengarah filem, En. Usamah Zaid Yasin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation turut berkongsi,
“Perjalanan menyiapkan filem ini penuh cabaran, bermula sejak peringkat pra-produksi sebelum pandemik. Kami amat menghargai kesetiaan peminat yang sabar menanti, dan berharap filem ini menyampaikan emosi serta kepuasan yang diidamkan.”
Penonton bakal disajikan dengan lagu-lagu yang mendalam seperti “Hanya Kamu” oleh legenda Dato’ M. Nasir, “Teman Sejati” nyanyian band Indonesia Nidji, dan “Penjuara” oleh Hael Husaini. Setiap lagu memperkaya penceritaan dan selari dengan perkembangan watak, menjadikan pengalaman menonton lebih bermakna.
Tayangan perdana EATM2 dimeriahkan dengan gimik istimewa dan persembahan pentas bertenaga yang diserikan dengan lagu “Penjuara”. Malam istimewa itu mencapai kemuncaknya apabila Dato’ M. Nasir menyampaikan “Hanya Kamu” secara langsung, menyentuh hati para penonton. Satu lagi kejutan yang mencuit nostalgia ialah kemunculan lagu viral dari filem pertama, “Mamak Maju”, yang dipersembahkan dalam bentuk flash mob, menambahkan warna kepada acara.
Bersempena pelancaran filem ini, pelbagai barangan eksklusif turut ditawarkan, termasuk figurine tumbler edisi terhad SATRIA dan Ali, peranti interaktif IRIS, serta koleksi bucket popcorn bertema. Beberapa lagi item menarik akan diumumkan tidak lama lagi, jadi pastikan anda tidak terlepas peluang untuk melengkapkan koleksi Ejen Ali anda!

*Saksikan sendiri kehebatan Ejen Ali The Movie 2 di pawagam bermula 22 Mei 2025! Filem ini bukan sahaja sesuai untuk semua peringkat umur, tetapi juga bakal membawa anda menyelami dunia animasi tempatan yang bertaraf antarabangsa.
Dibawakan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions, teruskan semangat anda menjelang tayangan dengan menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 di semua platform media sosial.
Baca juga: Ejen Ali The Movie 2 ‘Menakluk’ GSC IOI City Mall Putrajaya, Dapat Rasa Suasana Eksklusif!
