SAYS dengan bangganya melancarkan Furever Friends, sebuah kempen yang bertujuan mewujudkan Malaysia yang lebih penyayang terhadap semua haiwan. Sama ada, daripada haiwan peliharaan kesayangan hingga haiwan terbiar yang memerlukan bantuan.
Hal ini kerana, kebajikan haiwan di Malaysia kini menjadi isu yang semakin menekan dan perlu diberikan perhatian.
KEMPEN FUREVER FRIENDS

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, lebih 7,600 kes penderaan haiwan dilaporkan antara 2021 hingga 2024, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi.
Daripada jumlah tersebut, anjing merupakan haiwan yang paling banyak didera, diikuti oleh kucing, kuda, arnab, burung dan lembu. Terdapat juga laporan penderaan terhadap haiwan eksotik seperti ayam, hamster, kambing, guinea pig, angsa, ikan, itik, kura-kura dan ular.
Dan ini hanyalah kes yang telah dilaporkan secara rasmi.
Selain itu, kebelakangan ini berlaku beberapa kes penderaan haiwan yang mencetuskan kemarahan ramai, termasuklah:
- Pembunuhan tragik anjing jalanan kesayangan bernama ‘Kopi’
- Video tular yang menyayat hati memaparkan seekor anjing dibakar hidup-hidup
- Insiden lelaki memasukkan kucing ke dalam guni di Cheras,
Sebagai respons, kempen Furever Friends bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, memperjuangkan undang-undang kebajikan haiwan yang lebih ketat dan membantu haiwan peliharaan mencari rumah kekal mereka.
Info kempen Furever Friends

Bermula 13 Mei hingga 31 Julai, kempen ini merupakan kerjasama antara SAYS, JUICE, Fly FM dan Lumi News, dengan sokongan organisasi-organisasi kebajikan haiwan terkemuka seperti A Dog’s Life, Paws Animal Welfare Society (PAWS), Society for the Prevention of Cruelty to Animals Selangor (SPCA) dan Trap-Neuter-Release-Manage Malaysia (TNRM
Malaysia).
Intipati kempen ini adalah laman khas yang akan menampilkan pelbagai kandungan seperti:
- Berita Terkini: Ikuti laporan semasa berkaitan isu kebajikan haiwan
- Artikel Bermaklumat: Fahami cabaran dan penyelesaian dalam penjagaan haiwan
- Video Menarik: Saksikan kisahkisah menyentuh hati antara manusia dan haiwan
- Nasihat Pakar: Pelajari tanggungjawab pemilikan haiwan daripada profesional
Turut disediakan ruang khas untuk pencinta haiwan menghantar gambar serta kisah menarik mengenai haiwan peliharaan mereka dan berpeluang untuk diketengahkan di laman tersebut.
Baca juga: Jangan Beli & Guna Produk Penjagaan Kulit Ini, KKM Dah ‘Banned’ Ada Racun Bahaya!
Furever Friends bukan sekadar kempen, ia adalah seruan untuk bertindak. Sama ada menyelamatkan haiwan, menyebarkan kesedaran atau memilih untuk berbuat baik, setiap tindakan kecil memberi impak besar.
“Kes-kes yang memilukan ini mengingatkan kita kenapa kempen seperti Furever Friends amat diperlukan. Setiap kebaikan, walau sekecil mana pun, membawa kita lebih dekat ke masa depan di mana setiap haiwan rasa selamat, disayangi dan dihargai,” kata Gowri Chitra Martin, Ketua Kandungan SAYS.
“Furever Friends mengajak semua orang seperti pencinta haiwan, aktivis dan rakyat biasa untuk sama-sama mencetus perubahan. Kami mahu undang-undang kebajikan haiwan lebih ketat dan penguatkuasaan lebih tegas terhadap pelaku penderaan. Haiwan juga berhak untuk dilindungi, dan tiada siapa patut terlepas apabila menyakiti mereka,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut dan sertai kempen ini, layari laman khas kami di http://says.com/fureverfriends . Ikuti juga SAYS di Instagram dan TikTok.
Baca juga: Lebih 11,000 Kanak-Kanak Dijangkiti, Kes HFMD Di Johor Makin Serius & Meresahkan!
