Kisah pengorbanan terhadap haiwan sering kali menjadi sesuatu yang luar biasa. Namun, bagi seorang suri rumah ini, kasih sayang terhadap haiwan iaitu jaga kucing bukan sekadar simpati, tetapi satu tanggungjawab yang digalas sepenuh hati.
Baca juga: Jaga Kucing Rupanya Boleh Rangsang Kemahiran Motor Anak, Memang Tak Sangka!
SANGGUP KORBAN HARTA BENDA DEMI JAGA KUCING CACAT

Foto: Harian Metro
Nur Hanariawati Mohd Najib, 45, membuktikan bahawa kasih terhadap haiwan mampu mengatasi nilai material apabila beliau sanggup menjual barangan peribadi seperti televisyen, telefon dan peti ais demi menampung kos penjagaan 32 ekor kucing cacat yang dijaganya.
Menurut beliau, pengorbanan tersebut bukanlah satu beban, sebaliknya rasa empati terhadap nasib kucing jalanan yang sering dipinggirkan masyarakat.
“Saya pernah jual televisyen, telefon dan peti ais untuk tampung kos penjagaan mereka. Kita tak boleh bergantung harap sepenuhnya kepada sumbangan,” jelasnya.
Bermula Sejak PKP, Berakhir Dengan Tanggungjawab Besar
Perjalanan Hanariawati bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila beliau menyedari peningkatan jumlah kucing jalanan yang terbiar, khususnya yang mengalami kecacatan akibat kemalangan atau penderaan.
Situasi itu mendorong beliau untuk mempelajari sendiri kaedah penjagaan kucing cacat.
Dari sekadar menjaga seekor dua, kini beliau menjadi penjaga tetap kepada puluhan kucing yang memerlukan perhatian rapi.
Menurutnya, kebanyakan kucing cacat sukar mendapat tempat dalam kalangan pencinta haiwan kerana dianggap membebankan.
“Kalau kucing yang cantik, ramai yang mahu ambil. Tetapi kucing cacat dan comot jarang dipilih,” katanya lagi.
Kos Penjagaan Cecah Ribuan Ringgit Setiap Minggu

Foto: Freepik
Menguruskan 32 ekor kucing bukanlah tugas mudah, apatah lagi apabila sebahagiannya memerlukan penjagaan khas seperti penggunaan lampin dan rawatan berterusan.
Hanariawati membelanjakan sekitar RM1,200 hingga RM1,400 setiap minggu untuk keperluan asas seperti makanan, lampin pakai buang, ubat-ubatan, suplemen dan tisu basah.
Sebahagian dana diperoleh daripada pendapatan suami serta sumbangan orang ramai melalui siaran langsung di platform TikTok.
Pengorbanan Masa dan Kehidupan Peribadi untuk Jaga Kucing
Selain wang ringgit, pengorbanan Hanariawati turut melibatkan masa dan kehidupan peribadinya.
Beliau menguruskan kucing-kucing tersebut sebanyak lima kali sehari, menjadikan rutin hariannya sangat padat.
“Saya jarang balik kampung, tidak melancong, dan kadang-kadang sukar tinggalkan mereka walaupun ada urusan keluarga,” katanya.
Ikatan emosi yang terbina antara beliau dan kucing-kucing tersebut juga sangat kuat, menjadikan setiap kehilangan satu pengalaman yang amat menyentuh hati.
“Bila mereka ‘pergi’, memang sangat terkesan,” luahnya.
Di sebalik cabaran yang dihadapi, sokongan suami menjadi sumber kekuatan utama untuk beliau terus bertahan.
“Suami selalu beri semangat. Dia kata kalau saya putus asa, bagaimana dengan kucing-kucing lain di luar sana yang masih perlukan bantuan,” katanya.
Kini Miliki Pusat Penjagaan Kucing Yang Lebih Selesa
Pada awalnya, semua kucing dijaga di dalam bilik tidur rumahnya. Namun, apabila jumlah semakin bertambah, ruang menjadi terhad dan risiko jangkitan meningkat.
Kini, Hanariawati menyewa sebuah rumah kedai di Rimbayu, Telok Panglima Garang sebagai pusat penjagaan khas untuk kucing cacat.
Dengan ruang yang lebih luas, kucing-kucing tersebut kini dapat bergerak bebas dan hidup dalam keadaan yang lebih selesa tanpa dikurung.
Kisah Nur Hanariawati bukan sekadar tentang memelihara haiwan, tetapi mencerminkan nilai kemanusiaan yang tinggi iaitu empati, tanggungjawab dan pengorbanan tanpa syarat.
Tindakan kecil seperti membantu haiwan terbiar mungkin dilihat remeh. Namun, bagi mereka yang benar-benar memahami erti kasih sayang, setiap nyawa, walau sekecil mana sekalipun tetap berharga.
Baca juga: Tips Kurangkan Bau Busuk Najis Kucing Dalam Rumah, Rupanya Boleh Guna Arang Je!
Sumber: Harian Metro
FT Images: Harian Metro dan Freepik
