Dipilih menjadi imam solat Tarawih di masjid merupakan satu pencapaian yang perlu dibanggakan. Hal ini kerana, individu yang terlibat perlu menjalani sesi temu duga yang sengit. Selagi tidak berputus asa, usaha yang dilakukan pasti membuahkan hasil.
Sebagaimana pencapaian yang dimiliki oleh seorang pelajar Fakulti Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini, yang terpilih menjadi imam solat Tarawih di New Zealand.
Baca juga: Masjid Di Kedah Ada ‘Indoor Theme Park’ Buat Ramai Teruja, “Budak Umur 27 Boleh Main Tak?”
PELAJAR USIM JADI IMAM SOLAT TARAWIH DI NEW ZEALAND

Kredit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM): Muhammad Hanif (tengah) ketika mengajar al-Quran di masjid berkenaan.
Kisah Muhammad Hanif Zakaria, 24, telah mendapat liputan media Malaysia untuk berkongsi kejayaannya dan memberi inspirasi kepada masyarakat di luar sana.
Melalui laporan Sinar Harian, Muhammad Hanif mencipta sejarah tersendiri apabila diberi kepercayaan menjadi imam solat tarawih di Masjid Manukau Islamic Youth Centre, Auckland, New Zealand.
Beliau terpilih untuk menjadi imam solat Tarawih di sana selepas lulus temuduga pemilihan menyertai Program Mobiliti Antarabangsa.
Pemuda kelahiran Kelantan yang mengikuti pengajian dalam program Qiraat ini menyifatkan pemilihannya sebagai satu kejutan kerana persaingan yang sengit dalam sesi temuduga.
“Terkejut juga tetapi saya sangat bersyukur kerana ini peluang keemasan, sekali seumur hidup.
“Saya telah memulakan tugas sebagai imam tarawih bermula 2 lalu hingga 26 Mac ini,” katanya pada Rabu.
Turut mengajar al-Quran kepada jemaah setempat di bumi Auckland
Selain memimpin solat, Muhammad Hanif turut mengajar al-Quran kepada jemaah setempat menjadikan pengalamannya di bumi Auckland lebih bermakna.
Katanya, bertugas di negara asing bukan sesuatu yang mudah dan dia perlu memastikan hafazannya lancar bagi memimpin solat dengan sempurna.
“Menariknya, ini merupakan pengalaman pertama saya di pentas antarabangsa, menjadikan tanggungjawab ini lebih mencabar namun penuh dengan pelajaran berharga,” katanya.
Baca juga: Cara Mandi WAJIB Yang Betul & Teliti, Lebih Yakin Bila Beribadat!
Baca juga: Suara Imam Tarawih Cecah Nilai 5 Angka, Masjid Terletak Di Kuala Krai Ini Jadi Buruan!
Wakil pertama USIM berkhidmat di New Zealand
Sebagai wakil pertama USIM yang berkhidmat di New Zealand, Muhammad Hanif berharap penglibatannya menjadi pembuka jalan kepada pelajar lain pada masa akan datang.
“Saya mahu menjadi perintis. Semoga selepas ini lebih ramai pelajar USIM dapat berkhidmat di sini dan kerjasama antara USIM dan masjid di New Zealand dapat diteruskan,” ujarnya yang berlepas ke negara berkenaan pada 26 Februari lalu.
Bukti ilmu al-Quran tidak mengenal sempadan
Dalam pada itu, Muhammad Hanif tidak lupa akan pesanan ibu bapanya yang juga pesara guru agar menjaga diri menghormati masyarakat setempat dan membawa nama baik keluarga serta USIM di peringkat antarabangsa.
Kisah inspirasi Muhammad Hanif membuktikan bahawa ilmu al-Quran tidak mengenal sempadan dari Kota Bharu ke Auckland, dia kini menggalas amanah besar sebagai duta kecil USIM menyebarkan syiar Islam di luar negara.
Baca juga: Jadual Waktu Imsak & Berbuka Puasa Ramadan 2025, Seluruh Negeri Di Malaysia! (Lengkap)
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
