Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menzahirkan keprihatinan terhadap isu melibatkan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari di Saujana Putra, Puchong, Selangor yang dilaporkan tidak dapat menduduki Ujian UPKK 2025 (Penilaian Kelas KAFA).
Dalam kenyataannya, JAKIM menjelaskan bahawa pihaknya amat memahami kekecewaan ibu bapa dan pelajar yang terkesan memandangkan UPKK merupakan pentaksiran penting bagi menilai tahap kefahaman dan penghayatan asas Islam dalam kalangan pelajar KAFA seluruh negara.
Baca juga: Rahsia Genggam 9A UPKK 2025, Ustazah Bonda Kongsi Strategi Murid Tahun 5 Boleh Mula Sekarang!
80 Murid Tak Dapat Ambil Ujian UPKK 2025, Sekolah Tidak Didaftarkan Secara Sah

Foto Harian Metro: SIDANG media bersama ibu bapa mengenai 80 murid Tahun 5 di sebuah Sekolah di Kuala Langat
Menurut JAKIM, pihaknya telah menerima surat rayuan daripada pihak sekolah pada 15 Oktober 2025 bagi memohon agar murid terlibat dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.
Namun hasil semakan mendapati, murid-murid berkenaan tidak didaftarkan sebagai calon UPKK melalui Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) seperti yang ditetapkan.
Semakan lanjut bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut mengesahkan bahawa Sekolah Rendah Islam al-Afsari belum berdaftar di bawah JAIS serta beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT). Situasi ini menyebabkan sekolah tersebut TIDAK memenuhi syarat pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Selangor seperti termaktub dalam Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988.
Jadi, bagi memperjelaskan situasi sebenar, JAKIM telah mengadakan pertemuan rasmi dengan pihak sekolah pada 3 November 2025. Dalam pertemuan itu, beberapa perkara penting telah dijelaskan, antaranya:
- Peperiksaan UPKK dijalankan mengikut SOP ketat yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942.
- Semua calon sah UPKK Tahun 2025 telah didaftarkan lebih awal melalui SIMPENI dan diberikan nombor giliran rasmi sebelum ujian dijalankan.
- Ujian amali dan lisan al-Quran telah selesai antara April hingga Oktober lalu, manakala ujian bertulis dijadualkan pada 17 hingga 20 November 2025.
- JAKIM turut menegaskan bahawa pendaftaran sekolah hanya boleh diluluskan selepas tiga sokongan agensi berkaitan dipenuhi, sebagaimana digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) yang tertakluk di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001).
Langkah Disyorkan Kepada Sekolah Dan Ibu Bapa

Dalam kenyataannya, JAKIM menyarankan pihak sekolah untuk segera memohon kelulusan rasmi daripada agensi berkaitan dan memastikan operasi mematuhi undang-undang. Sekolah juga dinasihatkan agar memindahkan murid terlibat ke sekolah berdaftar di bawah pihak berkuasa agama negeri atau mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang bagi peperiksaan UPKK tahun ini.
Selain itu, JAKIM turut mengingatkan agar pihak sekolah meneliti semula tatacara pendaftaran calon supaya isu seperti ini tidak berulang di masa hadapan.
JAKIM menegaskan komitmen mereka untuk memastikan pelaksanaan peperiksaan UPKK berjalan dengan adil, berintegriti dan seragam di seluruh negara. Pihaknya juga menekankan pentingnya setiap institusi pendidikan Islam swasta beroperasi secara sah dan berdaftar, bagi menjaga kualiti pendidikan serta kebajikan murid.
Dalam masa yang sama, ibu bapa diseru lebih peka dan proaktif dengan memastikan sekolah anak-anak mereka berdaftar secara rasmi dengan pihak berkuasa agama negeri sebelum sesi persekolahan bermula.
“Pendaftaran rasmi bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi ia menjamin pengiktirafan sijil, kualiti pengajaran, serta kebajikan murid,” tegas JAKIM.
Baca juga: 4 Subjek Ini WAJIB Kena Skor Sebagai Penentu Masa Depan, Pelajar SPM 2025 Kena Ambil Serius!
Sumber: Harian Metro, JAKIM
