Dalam kehidupan seharian, air basuhan beras sering dianggap sebagai sisa yang tidak berguna lalu terus dibuang ke dalam sinki. Namun begitu, dari perspektif sains, air ini sebenarnya mengandungi pelbagai nutrien seperti vitamin, mineral, kanji yang dapat memberi kebaikan dalam kehidupan seharian kita.
Baca juga: Kutu Beras Hilang Terus! Wanita Ini Kongsi Cara Simpan Beras Paling ‘Power’ Yang Anda Kena Cuba
5 CARA GUNA SEMULA AIR BASUHAN BERAS
Menggunakan semula air basuhan beras bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran, tapi dapat membantu dari segi pembersihan, penyediaan makanan, serta penjagaan diri.
Terdapat lima cara penggunaan semula air basuhan beras yang ramai tidak tahu.
1. Membersihkan Pinggan dan Peralatan Berminyak

Foto: Gemini AI
Air basuhan beras mengandungi protein dan kanji yang bertindak seperti sabun yang dapat membuang sisa minyak dan kotoran pada permukaan pinggan mangkuk.
Rendam terlebih dahulu peralatan dapur dalam air ini sebelum mencuci. Kaedah ini dapat mengurangkan penggunaan sabun serta menjimatkan air.
Untuk hasil yang lebih baik, bilas semula dengan air bersih atau sedikit sabun.
2. Menghilangkan Bau Degil pada Bekas Makanan
Bekas plastik seperti tupperware sering menyerap bau makanan. Dengan merendam bekas tersebut dalam air basuhan beras semalaman, bau yang melekat dapat dikurangkan.
Kandungan kanji dalam air basuhan beras membantu meneutralkan bau yang tidak menyenangkan.
3. Siram Pokok & Sayur Sebagai Baja Semula Jadi

Foto: Gemini AI
Air basuhan beras boleh digunakan sebagai baja semula jadi untuk tanaman di rumah. Air basuhan pertama sesuai untuk menyiram pokok hiasan, manakala air basuhan kedua lebih sesuai untuk sayur-sayuran.
Kandungan nutrien seperti mineral dan kanji membantu menyuburkan tanah serta menyokong pertumbuhan tanaman. Penggunaan air ini dengan kehadiran cacing tanah dalam pasu turut membantu meningkatkan kesuburan tanah secara semula jadi.
Tetapi, penggunaannya perlu dilakukan secara sederhana bagi mengelakkan lebihan nutrien yang boleh menyebabkan akar mereput.
4. Air Basuhan Beras Juga Boleh Digunakan dalam Penyediaan Makanan
Air ini boleh digunakan untuk merebus sayur-sayuran tertentu seperti lobak putih, rebung, keladi bagi mengurangkan rasa pahit atau kelat.
Selain itu, ia juga sesuai digunakan untuk melembutkan ikan kering. Kandungan mineral dalam air basuhan beras membantu meneutralkan rasa dalam makanan.
5. Penjagaan Kulit dan Rambut
Sejak zaman tradisional, air basuhan beras telah digunakan sebagai pencuci muka dan rambut.
Ia mengandungi bahan seperti ceramide, vitamin serta pelembap semula jadi yang baik untuk kulit.
Walau bagaimanapun, ujian tampalan (patch test) perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan iritasi kepada kulit.
Walaupun air basuhan beras mempunyai pelbagai manfaat, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian,
- Air basuhan pertama perlu dibuang kerana terdapat habuk dan kotoran,
- Gunakan air basuhan kedua untuk cara di atas.
- Elakkan menyimpan terlalu lama bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria.
Air basuhan beras bukanlah sekadar sisa dapur, tetapi merupakan sumber alternatif yang mempunyai pelbagai kegunaan praktikal yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian.
Baca juga: Step-by-Step: Resepi Nasi Lemak Mudah & Sedap. Mesti Jadi!
Sumber: Maido dan Kimchimari
FT Images: Gemini AI
