Bila bercakap tentang jenis pasport, ramai mungkin hanya tahu pasport antarabangsa biasa yang digunakan ketika bercuti atau bekerja di luar negara. Namun sebenarnya, Malaysia mempunyai tiga jenis pasport utama yang dikeluarkan untuk tujuan dan golongan berbeza.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Jabatan Imigresen Malaysia berkongsi fakta menarik mengenai pasport Malaysia termasuk fungsi setiap pasport serta pencapaian terbaru negara dalam ranking pasport paling berkuasa di dunia.
Baca juga: Macam Ada Beauty Consultant Sendiri! Ini Prompt ChatGPT Viral Boleh Cuba, Tak Perlu Bayar RM5k!
INI 3 JENIS PASPORT MALAYSIA YANG RAMAI TAK TAHU

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, pasport merupakan dokumen perjalanan rasmi yang dikeluarkan kerajaan sebagai bukti kewarganegaraan seseorang.
Terdapat tiga jenis utama pasport Malaysia yang digunakan mengikut tujuan tertentu.
1. Pasport biasa
Pasport ini merupakan yang paling umum digunakan rakyat Malaysia untuk tujuan perjalanan antarabangsa seperti bercuti, belajar atau urusan kerja di luar negara.
Ia dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang layak.
2. Pasport rasmi
Pasport rasmi pula digunakan oleh pegawai kerajaan dan individu tertentu yang menjalankan urusan rasmi kerajaan di luar negara.
Jenis pasport ini tidak digunakan untuk tujuan peribadi atau pelancongan biasa.
3. Pasport diplomatik
Pasport diplomatik dikhaskan kepada pegawai yang menjalankan tugas diplomatik dan urusan konsular bagi negara.
Kebiasaannya, ia digunakan oleh diplomat atau wakil rasmi negara ketika menjalankan tugas di luar negara.
Menurut perkongsian itu lagi, pasport bukan sekadar dokumen perjalanan, malah turut melambangkan identiti serta kedaulatan negara di mata dunia.
Pasport Malaysia kini di tangga keenam dunia
Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Malaysia turut memaklumkan bahawa pasport Malaysia berjaya melonjak ke tangga keenam paling berkuasa di dunia bagi tahun 2026.
Kedudukan tersebut adalah berdasarkan laporan Henley & Partners menerusi Henley Passport Index 2026 Global Ranking.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding kedudukan ke-12 pada tahun sebelumnya.
Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan serta pengiktirafan dunia terhadap Malaysia selain membuktikan kekuatan hubungan diplomatik negara yang semakin kukuh.
“Pasport Malaysia bukan sekadar dokumen perjalanan, malah simbol kedaulatan, kepercayaan antarabangsa dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia,” menurut hantaran tersebut.

Jadi antara pasport paling berkuasa di dunia
Kedudukan pasport Malaysia yang kini berada dalam kelompok teratas dunia turut menjadi satu perkara yang membanggakan rakyat negara ini.
Dengan kekuatan pasport tersebut, rakyat Malaysia dapat menikmati akses perjalanan lebih mudah ke banyak negara tanpa memerlukan visa atau hanya menggunakan visa semasa ketibaan.
Jabatan Imigresen Malaysia turut menegaskan pihaknya akan terus komited dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan berintegriti demi menjaga keyakinan rakyat serta imej negara.
Sumber: Facebook Jabatan Imigresen Malaysia (1), (2)
FT Image: Gemini AI
